Polis Berjaya Tumpaskan Geng Pecah Rumah Di Shah Alam
Shah Alam, 30 Julai - Polis berjaya menumpaskan geng pecah rumah bergelar 'Geng Dhinesh Puchong' yang bergerak aktif di sekitar Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong dengan tertangkapnya lima lelaki termasuk dalang kumpulan berkenaan pada minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, dalang kumpulan berkenaan bersama seorang lagi suspek ditahan di sebuah kawasan perumahan di Kuala Lumpur pada 21 Julai lepas bagi tujuan pemeriksaan selepas melihat suspek berkeliaran di kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan terhadap seorang daripada suspek mendapati dia dikehendaki polis berhubung satu kes curi dan pecah rumah di Shah Alam dan siasatan lanjut terhadapnya membawa kepada penahanan tiga lagi anggota kumpulan berkenaan di sekitar Shah Alam.
"Dalang kumpulan ini juga membawa polis ke rumahnya di Klang di mana di sana polis menemui beberapa barangan dipercayai dicuri antaranya sebuah kereta jenama BMW, tiga komputer riba, 20 telefon bimbit selain pelbagai alatan pecah rumah, katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kata Shafien, nilai rampasan dipercayai kira-kira RM300,000.
Beliau berkata siasatan lanjut terhadap suspek mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun dan curi.
Menurutnya, dengan penahanan kesemua suspek berusia antara 20 hingga 27 tahun ini, pihaknya percaya telah dapat menyelesaikan kira-kira 10 kes pecah rumah di sekitar Shah Alam, Puchong dan Subang Jaya.
BERNAMA