Polis Berjanji Memberi Perhatian Serius

POLIS BERJANJI MEMBERI PERHATIAN SERIUS DAN MENGAMBIL TINDAKAN SEWAJARNYA
Bukit Aman - 8 September 2011. Dalam memberi respons kepada kes yang melibatkan Pet Hotel “Petknode”, YDH DIG Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara ingin memaklumkan bahawa pihak polis memahami perasaan pemilik-pemilik kucing yang terlibat.
Sehingga kini sebanyak 74 laporan polis telah diterima oleh pihak dan disiasat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Walau bagaimanapun, pihak polis berjanji akan memberi perhatian serius terhadap kes ini dan tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil ke atas pemilik kedai Petknode yang tidak dapat memberi perkhidmatan yang telah dijanjikan.
Pihak polis mengakui bahawa pada kebiasaannya kes yang melibatkan haiwan termasuk penganiayaan haiwan di Malaysia adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Walau bagaimanapun, kesedaran hak-hak asasi bukan sahaja kepada manusia malah untuk haiwan telah meningkat dan banyak negara lain juga telah mula memberi penekanan berkenaan kes penganiayaan haiwan. Oleh yang demikian, pihak polis tidak menafikan sudah tiba masanya akta-akta sedia ada mengenai haiwan harus dikaji semula. Pindaan yang bersesuaian selari dengan arus kesedaran ini adalah perlu. Pihak polis akan bekerjasama dengan pihak JPV dalam perkara ini.
Dalam pada itu, pihak polis akan membantu pemilik kucing terlibat untuk mendapatkan kembali kucing yang masih hidup. Pihak polis ingin menyeru sesiapa yang telah mengambil mana-mana kucing atas alasan menyelamatkan kucing tersebut supaya menyerahkan kucing terbabit kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor ataupun pihak polis.