
Article
Pkp Pkpb Pkpp Covid 19 Artikel Pilihan Pdrm Nafi Anggota Polis Bertugas Sambil Lewa Di Sjr
Kuala Lumpur, 1 Februari 2021 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan kononnya terdapat anggota polis bertugas sambil lewa di sekatan jalan raya (SJR)...
Kuala Lumpur, 1 Februari 2021 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan kononnya terdapat anggota polis bertugas sambil lewa di sekatan jalan raya (SJR) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
SAC Gerakan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, SAC Tuan M. V Sri Kumar berkata dakwaan itu adalah tidak tepat sama sekali kerana setiap pegawai dan anggota polis yang bertugas di SJR bertugas selama lapan jam sehari.
“Bukan semua orang mengetahui tugas anggota dan pegawai polis di SJR, hanya anggota yang bertugas di sini sahaja tahu betapa penatnya mereka berdiri setiap hari sambil menghadapi cuaca panas terik dan berhujan memantau kenderaan.
“Jadi tidak ada anggota polis yang bertugas sambil lewa dan mendakwa SJR yang dilaksanakan tidak diperketatkan.
"Sekarang ini, di SJR polis tidak lagi memberi nasihat bagi kenderaan yang tiada dokumen perjalanan seperti dahulu, mereka akan terus kompaun dan diarah berpatah balik dan hanya kenderaan yang berdokumen sahaja dibenarkan lalu, “ katanya kepada Bernama selepas meninjau SJR di Plaza Tol Gombak, di sini, semalam.
Mengulas mengenai sama ada SJR akan diteruskan walaupun PKP dijangka tamat pada 4 Februari ini, beliau berkata apa-apa jua keputusan kerajaan mengenai SJR ini pihak PDRM akan menyokong.
“PDRM akan sentiasa menyokong keputusan kerajaan berkenaan mengadakan SJR bagi mengurangkan pergerakan kenderaan di dalam negara. Kes COVID-19 masih meningkat dan tiada sebab untuk polis mengurangkan ataupun berhentikan mengadakan SJR,” tambahnya.