Pgu Dan Tentera Udara Amerika Syarikat Tamatkan Siri Latihan Udara Bersama
PGU DAN TENTERA UDARA AMERIKA SYARIKAT TAMATKAN SIRI LATIHAN UDARA BERSAMA
Ipoh, 15 September 2017 - Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Udara Amerika Syarikat (United States Air Force) berjaya menamatkan siri latihan bersama atau Joint Combined Exchange Training (JCET) yang diadakan di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), dekat sini, pagi tadi.
Latihan bersama yang bermula pada 24 Ogos lalu itu akan secara rasmi ditamatkan sepenuhnya esok, 16 September 2017 tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Komander PGU PDRM, DCP Dato' S. Sathiya Seelan berkata, adalah menjadi harapannya agar latihan yang julung-julung kali bersama Special Operations Squadron (AFSOC 6 SOS) Tentera Udara Amerika Syarikat ini akan dapat diadakan lagi di tahun-tahun mendatang demi untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme warga PGU dalam pasukan.
"PDRM melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua jurulatih yang terlibat di atas perkongsian maklumat dan kemahiran yang sebenar menerusi siri latihan operasi taktikal yang dijalankan sepanjang latihan ini," ujar beliau dalam Majlis Penutupan JCET di Dewan Utama PGU.
Latihan pada kali ini menekankan pelbagai aspek taktikal seperti Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Pulau Sembilan, bantuan paramedik, mencari dan memindahkan mangsa dalam situasi kemalangan serta menurunkan kargo dari pesawat.
Hadir sama dalam majlis tersebut Penolong Pengarah Operasi AFSOC 6 SOS, Mejar Anthony D. Gibson merangkap Komander bersama latihan, Komander 69 Komando PDRM, SAC Dato' Mohd Fisol Salleh, Komandan PLPGU, SAC Mohd Rafique Ramli Ariffin dan para pegawai kanan dari kedua-dua agensi.
Sekitar sesi latihan Joint Combined Exchange Training (JCET)
Sekitar Majlis Penutupan Rasmi Kolabrasi Eksesais PDRM bersama Tentera Udara Amerika Syarikat..
Ucapan oleh Komander PGU PDRM, DCP Dato' S. Sathiya Seelan.
Sesi penyampaian cenderahati..