Pgm Wilayah Tiga Lancar Ops Octopus Khas
KEMAMAN,
1 Jun 2010 (Bernama)-- Pasukan Gerakan Marin (PGM) akan melancarkan
operasi khas bagi memantau pengusaha bot pelancongan yang mengabaikan
aspek keselamatan ketika membawa pelancong ke pulau-pulau peranginan
sempena musim cuti sekolah minggu depan.
Komander
PGM WIlayah Tiga, ACP Mohd Saleh Mat Jani berkata, dalam `Ops Octopus
Khas' itu akan tertumpu di kawasan perairan pulau peranginan Pulau
Redang, Pulau Kapas, Pulau Tenggol dan Pulau Perhentian.
"Kita
tidak mahu pengusaha bot pelancongan begitu ghairah mengaut keuntungan
semasa musim cuti sekolah nanti sehingga gagal menitikberatkan soal
keselamatan," katanya kepada pemberita selepas majlis tepung tawar kapal
PA52 di Pangkalan PGM Wilayah Tiga di sini Selasa.
"Ia
termasuk membawa penumpang melebihi syarat permit yang dibenarkan,
tidak menyediakan jaket keselamatan serta pelampung," katannya.
Mohd
Saleh berkata pengusaha yang ingkar dengan peraturan yang ditetapkan
itu akan dikenakan tindakan tegas termasuk dikenakan saman di bawah
Ordinan Perkapalan 1952.
Menurutnya
sepanjang Januari hingga Mei lepas, PGM Wilayah Tiga telah mengesan
sebanyak 20 kes kesalahan di bawah ordinan itu dan jumlah itu menurun
berbanding 121 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Katanya,
selain itu hasil rondaan dan operasi berterusan yang dijalankan bersama
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, sebanyak 128 tangkapan telah
dilakukan melibatkan kesalahan dadah dalam tempoh lima bulan pertama
tahun ini berbanding 14 tangkapan dalam tempoh sama tahun lepas.
Sementara
itu, beliau berkata penambahan kapal PA52 yang berharga RM10.8 juta itu
akan menguatkan lagi kekuatan PGM Wilayah Tiga yang merangkumi tiga
negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan dengan kekuatan keanggotaan
seramai 293 orang termasuk 24 pegawai.
"Setakat
ini PGM Wilayah Tiga telahpun mempunyai lima buah kapal dan dengan
penambahan kapal baru ini ia akan membantu meningkatkan lagi keupayaan
pasukan dalam menjalankan tugas-tugas rondaan keselamatan sepanjang 12
batu nautika dari pantai," katanya.
Selain
itu, katanya ia juga dapat digunakan untuk kerja-kerja mencari dan
menyelamat serta operasi sepadu bersama agensi maritim yang lain.