Pertandingan Memasak 1 Malaysia Perkep
Kuala Lumpur, 22 Oktober 2009 - Menyediakan juadah yang lengkap dan enak untuk seisi keluarga menjadi keutamaan bagi para ibu walau pun ianya seorang yang bekerjaya.
Sebagai seorang pegawai polis atau isteri pegawai polis, apabila pulang dari pejabat, mereka terus memikirkan apakah juadah yang bakal disediakan untuk seisi keluarga. Mereka akan menyediakan secara ringkas sahaja namun berkhasiat dan paling utama dapat makan bersama keluarga.
Menyedari bahawa soal penyediaan makanan amat penting, Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, telah mengadakan Pertandingan Memasak 1 Malaysia PERKEP dengan kerjasama Karangkraf Sdn. Bhd, Majalah Rasa, Adabi dan Petronas.
Pertandingan yang disertai 30 kumpulan yang mewakili setiap Jabatan PDRM, Kontinjen Polis, Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Maktab Polis Diraja Malaysia itu, berlangsung di Dewan Pengaman, Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Menurut Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad, Pengerusi PERKEP Malaysia, acara tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti berpersatuan di samping dapat mengumpul sebanyak yang boleh resipi-resipi dari pelbagai kaum dan formasi di seluruh negara untuk dibukukan.
"Pertandingan memasak ini adalah julung kali diadakan, namun keseronokkan dan keakraban antara ahli jelas terpancar. Langkah yang diambil oleh AJK yang terlibat adalah untuk melahirkan warga PDRM yang prihatin dalam penyediaan makanan untuk seisi keluarga walau pun sibuk bekerja. Di samping itu dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli yang datang dari seluruh negara".
Para peserta pertandingan telah menunjukkan bakat dan kreativiti masakan mereka dengan baiknya. Ini terbukti apabila Chef Rahman yang dijemput sebagai Ketua Juri telah memberikan komen-komen yang membina demi meningkatkan lagi mutu masakan.
Johan pertandingan dimenangi oleh Puan Fauziah Yaakob dan pasangannya Puan Rosnani Osman dari Kontinjen Sabah dengan resipi masakan Dalca Tulang Adabi dan Aiskrim Goreng Vanilla Lemak Manis Adabi.
Di tempat kedua, pasangan Puan Zahariah Baharudin dan Puan Nor Ashikin Abu Zarin dari PERKEP Pulapol Air Hitam dan ketiga PERKEP Johor yang diwakili oleh Puan Almi Sarno bersama Juriah Abdullah.
Puan Sri Suriati Md. Sobri, Naib Pengerusi PERKEP Malaysia telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad, Pengerusi PERKEP Malaysia merasmikan Pertandingan Memasak 1 Malaysia PERKEP Malaysia Anjuran Bersama Karangkraf Sdn. Bhd., Majalah Rasa, Adabi dan Petronas

Puan Sri Juriah menyampaikan bungkusan Rempah Adabi kepada peserta pertandingan untuk digunakan sebagai bahan utama ketika memasak.

Puan Fauziah Yaakob dan Puan Rosnani Osman dari PERKEP Kontinjen Sabah dinobatkan sebagai juara pertandingan dengan masakan Dalca Tulang Adabi dan Aiskrim Goreng Vanilla Lemak Manis Adabi

Pasangan PERKEP Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am, sedang memasak resepi yang dibawa khas dari Sarawak

Pasangan PERKEP Kontinjen Perlis, sedang memasak resepi dari utara

Puan Sri Juriah bersama Chef Rahman sedang merasa masakan yang disediakan oleh peserta di pertandingan itu untuk dipilih sebagai pemenang

Bergambar kenangan...juara pertandingan memasak, PERKEP Kontinjen Sabah bersama Chef Rahman

Para peserta yang berjaya di pertandingan memasak bergambar kenangan dengan Chef Rahman

Bergambar kenangan bersama Datin A'ain Zubaidah Hj. Bahari Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan PDRM dan Chef Rahman.... kerjasama yang erat sesama ahli membawa kejayaan menganjurkan Pertandingan Memasak 1 Malaysia, PERKEP Malaysia 2009