Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel Siri 1/2011 Pengerang,Johor
- 16 Julai 2011. Pagi ini, Polis Diraja Malaysia telah mencatat lipatan
sejarah baru iaitu majlis sulung Perbarisan Tamat Latihan Program
Latihan Asas Kepolisan Konstabel (NSES-NBOS) Siri 1/2011 yang
berlangsung di Dataran Medan Perbarisan, KD Sultan Ismail, Pusat Latihan Asas Perajurit Muda TLDM, Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor.
Kerjasama
yang telah diberikan oleh Angkatan Tentera Malaysia, terutamanya dalam
penyediaan kemudahan pusat latihan KD Sultan Ismail ini menunjukkan
hubungan yang baik di antara ATM/PDRM, khususnya Pegawai Pemerintah KD
Sultan Ismail.
Majlis
Penutupan Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel (PLAK) pada pagi ini
telah disempurnakan oleh YDH CP Dato' Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang mewakili YDH Ketua Polis Negara.
Turut hadir pagi yang ceria dan harmonis ini adalah YB Datuk Wira Abu Seman bin Haji Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri. Hadir
sama ialah, Y.Bhg Laksamana Muda Dato' Tan Eng Seng, Panglima
Pendidikan Dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia, YDH DCP Dato' Mohd.
Mokhtar bin Mohd Shariff, Ketua Polis Johor, YDH SAC Dato' Paramasivam
a/l Arunasalam, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan
(Latihan/Peperiksaan), Y.Bhg Kepten Roslan bin Idris, Pegawai Memerintah
Kapal Diraja Sultan Ismail (KDSI) TLDM, YDH DSP Muhamad Nor Abidin
Jusoh, Komandan PULAPOL Muar, Y.Bhg Dato'- dato' Ketua Jabatan Kerajaan
Persekutuan dan Negeri, YDH Dato'-Dato' Timbalan Pengarah PDRM,
Ketua-ketua Jabatan IPK Johor, Pegawai-pegawai Kanan PDRM/ATM, Dif-dif
jemputan, wakil-wakil media dan ahli keluarga pelatih.
Tempoh
enam bulan (18 Januari - 16 Julai 2011) berada di Pusat Latihan Asas
Perajurit Muda TLDM telah diharungi oleh seramai 498 orang pelatih
Konstabel dengan semangat yang tinggi untuk mendisiplinkan diri dan
pasukan. Dalam tempoh ini, para pelatih telah diterapkan dengan budaya
hidup polis yang membentuk personaliti dan sikap yang positif. Budaya
ini akan terus menjadi amalan apabila bertugas di pelbagai formasi polis
kelak.
Berdasarkan
Pelan Strategik Lima Tahun PDRM, PDRM mensasarkan untuk melatih seramai
12,000 pelatih setiap tahun selama 5 tahun mulai tahun 2007 bagi
penambahan keanggotaan seramai 60,000 orang lagi, menjadikan kekuatan
PDRM seramai 150,000 orang menjelang tahun 2011.
Bagaimanapun,
sasaran ini tidak dapat dicapai disebabkan kemudahan latihan yang tidak
mencukupi dan pembinaan Pusat Latihan Polis yang tertangguh. Bagi
mencapai sasaran ini, National Strategy Execution Summit - National Blue
Ocean Strategy 2 telah mencadangkan supaya melatih anggota polis
seramai 48,842 orang dengan menggunakan fasiliti tentera dan termasuk
menyerapkan bekas tentera dalam perkhidmatan polis, mulai Januari 2011
hingga awal tahun 2015 bagi mencapai kekuatan keanggotaan PDRM seramai
150,000. "Program
Latihan Asas Kepolisan (PLAK) yang menggunakan kemudahan Pusat Latihan
Tentera ini merupakan satu pendekatan di bawah Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) iaitu
penerapan meluas di kalangan agensi-agensi kerajaan dengan cara yang
kreatif dan inovatif, disamping perlaksanaan kos yang minimum merupakan
buah fikiran YAB Perdana Menteri Malaysia. Lantaran itu, PDRM telah
mengaplikasikan pendekatan tersebut dengan mengadakan kerjasama dengan
ATM membabitkan Program Latihan Asas Kepolisan menggunakan kemudahan
tentera", ucap YDH CP Dato' Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah Jabatan
Siasatan Jenayah Narkotik.
"Kesempatan
ini, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Timbalan Menteri
Dalam Negeri, Ibubapa dan ahli keluarga yang berkesempatan hadir pada
pagi ini. Tahniah dan syabas kepada Pegawai Pemerintah, Kapal Diraja
Sultan Ismail (KDSI), Pusat Latihan Asas Perajurit Muda, Pengkalan
Tentera Laut Diraja Malaysia, semua Pegawai, Pensyarah dan Jurulatih
yang terlibat dalam mengendali dan menentukan latihan ini berjalan
dengan lancar. Kepada para Konstabel, diucapkan selamat menjalankan
tugas. Saya berharap anda sekalian akan mempamerkan kegigihan dan
kesungguhan dalam melaksanakan tugas sebagai anggota polis yang berintegriti, tegas, adil dan berhemah", YDH CP Dato' Noor Rashid bin Ibrahim mengakhiri ucapan aluan pagi ini.
"Kerjasama di antara PDRM
dan ATM terus terjalin dengan penggunaan 2 Pusat Latihan Tentera iaitu
Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port-Dickson dan juga
Pusat Latihan Asas Perajurit Muda TLDM, KD Sultan Ismail", antara
ucaptama oleh YB Datuk Wira Abu Seman bin Haji Yusop, Timbalan Menteri
Dalam Negeri.
Kolaborasi
bersama ini telah memberi impak besar dari segi penjimatan kos dan
kerajaan dijangka akan berjaya menjimatkan kos sebanyak RM639 juta dalam
masa 5 tahun, tambah beliau lagi.
"Ia
tercapai semasa mesyuarat pertama National Strategy Execution Summit
(NSES) - National Blue Ocean Strategy (NBOS) 2 - (A Blue Ocean Strategy
Accross The Police and Military) pada 20 Julai 2010 yang menggariskan 3
perkara yang melibatkan kerjasama PDRM dan ATM iaitu, mengadakan Program
Latihan Asas Kepolisan menggunakan kemudahan tentera, melaksanakan
tugas rondaan polis bersama anggota tentera dan pelantikan bekas anggota
tentera untuk berkhidmat dalam PDRM", tambah beliau lagi.
"Berilah
perkhidmatan yang cekap dan mesra kepada masyarakat, berkhidmat dengan
ikhlas, cinta kepada PDRM agar PDRM sentiasa dijulang, bertindak
mengikut peraturan dan berlandaskan undang-undang dan bekerjalah dalam
satu pasukan", amanat oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri kepada pelatih
Konstabel Polis sebelum mengakhiri ucapannya.
Perbarisan
pada pagi ini diserikan lagi dengan persembahan daripada Pancaragam
Pusat PDRM dan demonstrasi menumpaskan penjenayah.  Y.Bhg Laksamana Muda Dato' Tan Eng Seng, Panglima Pendidikan Dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia membalas Hormat Panglima 
YDH
CP Dato' Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Narkotik yang mewakili YDH Ketua Polis Negara, membalas Hormat Panglima
daripada Kawalan Kehormatan 
Beramah mesra, menunggu ketibaan YB Timbalan Menteri Dalam Negeri 
YB Datuk Wira Abu Seman bin Haji Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri menerima Hormat Penglima daripada Kawalan Kehormatan 
Perbarisan
Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel (NSES-NBOS) Siri
1/2011 yang berlangsung di Dataran Medan Perbarisan, KD Sultan Ismail, Pusat Latihan Asas Perajurit Muda TLDM, Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor. 
Pemeriksaan perbarisan dengan menaiki kenderaan istiadat.  YB Datuk Wira Abu Seman bin Haji Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama YDH CP Dato' Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik membuat pemeriksan perbarisan. 
Perbarisan membuat lintas hormat dalam 'Perlahan dan cepat masa' 
Konst/P 179581 Vikram a/l Subramaniam, Pelatih Terbaik Akademik 
Konst/P 179576 Muhamad Hafiz bin Muhamad Yatim, Pelatih Terbaik latihan Luar 
Konst/P 179732 Yanmolbey bin Yadut, Pelatih Terbaik Keseluruhan 
Ucapan aluan oleh YDH CP Dato' Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik 
Ucaptama oleh YB Datuk Wira Abu Seman bin Haji Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri. 
Sidang Media... Gambar-gambar sekitar Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel Siri 1/2011                      Wartawan : Sjn Zaiddin bin Dahalan Jurufoto : Sjn Zaiddin bin Dahalan L/Kpl Edwind Indo |