Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Perbarisan Perpisahan Ketua Polis Negara

Published: 10 Jun 2014 3.42 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
Perpisahan perbarisan sempena persaraan YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara...
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/perbarisan-perpisahan-ketua-polis-negara
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 07:03 MYT

PULAPOL Kuala Lumpur - 12 September 2010. Majlis Perbarisan Perpisahan Ketua Polis Negara dengan rasminya telah diadakan di Padang Kawad PULAPOL Kuala Lumpur pada pagi ini. Perbarisan Perpisahan ini adalah sempena persaraan YDH Inspektor General Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara.

Majlis ini telah dihadiri oleh YDH Ketua Polis Negara Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan dan Y.Bhg Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad, YDH Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar dan Y.Bhg Puan Sri Hajah Suriati binti Mohd Sobri, Y.A.Bhg mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Hanif bin Omar, YDH Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM, Dif-Dif Jemputan, Pegawai-pegawai Kanan Polis dan anggota.

Majlis yang bermula pada  jam 8.00 pagi dengan Kawalan Kehormatan dan pancaragam Pusat PDRM mengambil tempat. Upacara mengarak Panji Utama PDRM masuk ke Medan Perbarisan menandakan bermulanya upacara dengan penuh istiadat.

Sejurus ketibaan YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara, beliau telah membuat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan dan Detachment dengan menaiki kenderaan istiadat. Majlis diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Sang Saka Biru dikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh YDH Superintendan Haji Ghazali bin Haji Daud dari Bahagian Agama Dan Kaunseling (BAKA) Bukit Aman. Majlis diteruskan lagi dengan acara Bacaan Puisi khas untuk YDH Tan Sri Musa oleh DSP Rosebaini binti Kassim.

Majlis ini dimeriahkan lagi dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM. Di akhir acara Persembahan Pancaragam ini, Ketua Pengarah Muzik PDRM, Superintendan Alina binti Saad menjemput YDH Tan Sri Musa naik ke pentas khas untuk memimpin Pancaragam Pusat PDRM. Seterusnya acara Penyerahan Tongkat Kuasa Ketua Polis Negara oleh YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan kepada YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar.

Majlis Perbarisan Perpisahan Sempena Persaraan YDH Ketua Polis Negara ini diakhiri dengan nyanyian lagu 'Tegas, Adil dan Berhemah' dan lagu 'Sedia Berkhidmat' sebelum semua hadirin dijemput ke Dewan Pengaman PULAPOL Kuala Lumpur untuk jamuan ringan.

Selesai sahaja majlis jamuan, YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan dan Y.Bhg Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad dijemput untuk menaiki kenderaan istiadat dan ditarik hingga ke Balai Pengawal, PULAPOL Kuala Lumpur. YDH Tan Sri Musa menandatangani Buku Pelawat di Balai Pengawal, menerima Tabik Hormat dari Guard Turn-Out  sebelum meninggalkan PULAPOL dengan menaiki kenderaan rasmi.

Perbarisan Perpisahan Ketua Polis Negara
YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan tiba di padang kawad PULAPOL diiringi oleh YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar.

Perbarisan Perpisahan Ketua Polis Negara
YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan diiringi oleh YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar menaiki Kenderaan Istiadat untuk memeriksa Kawalan Kehormatan dan Detachment.

Perbarisan Perpisahan Ketua Polis Negara
Bacaan puisi khas sempena persaraan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan disampaikan oleh Deputi Superintendan Polis Rosebaini binti Kassim.

Perbarisan Perpisahan Ketua Polis Negara
YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan dijemput untuk memimpin Persembahan Pancaragam Pusat PDRM.

Perbarisan Perpisahan Ketua Polis Negara
Majlis Penyerahan Tongkat Kuasa Ketua Polis Negara oleh YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan kepada YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar.

Perbarisan Perpisahan Ketua Polis Negara
Selesai acara jamuan di Dewan Pengaman, YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan bersama isteri, YBhg. Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad diiring untuk menaiki kenderaan khas hingga ke Balai Pengawal PULAPOL Kuala Lumpur.

Perbarisan Perpisahan Ketua Polis Negara
Sebelum beredar meninggalkan PULAPOL, YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan juga sempat menyempurnakan acara Menandatangani Buku Pelawat di Balai Pengawal PULAPOL Kuala Lumpur.

ArticlePublished 10 Jun 2014 3.42 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM