Penyamun Gagal Larikan Rm368 660 Ketika Cuba Pecah Mesin Atm
Kota
Baharu, 24 Jan - Sekumpulan penyamun yang cuba memecah sebuah mesin
juruwang automatik (ATM) di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail
(KIAS) Nilam Puri semalam, gagal melarikan wang tunai berjumlah
RM368,660 yang terdapat dalam ATM berkenaan kerana tidak tahu proses
keselamatan mesin itu.
Ketua
Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata insiden pada 6.42
pagi itu disedari ibu pejabat syarikat keselamatan selepas mesin
berkenaan menghantar isyarat berlaku pencerobohan.
"Bagaimanapun,
kumpulan penyamun itu berputih mata selepas gagal membuka pintu lapisan
kedua mesin ATM berkenaan selepas membakar lapisan pintu pertama
menggunakan petrol.
"Siasatan
mendapati kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam kiosk ATM
itu telah disembur dengan cat hitam selain panel kabel sistem penggera
turut dicabut," katanya ketika melawat lokasi kejadian hari ini.
Beliau
berkata siasatan di tempat kejadian menemui satu bahagian kepala Oxy
yang diguna bagi menebuk lapisan kedua ATM dan lapan kesan cap jari pada
cermin penghadang mesin itu.
"Kita
turut menemui kesan tayar dua buah motosikal berdekatan tempat
kejadian. Jumlah sebenar penyamun yang terlibat masih dalam siasatan
kerana rakaman CCTV terjejas.
"Pemeriksaan
buku lawatan polis mendapati kali terakhir lawatan dibuat pada pukul 1
pagi pada malam kejadian oleh anggota ronda Balai Polis Nilam Puri,"
kata Azham sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 486 Kanun
Keseksaan.
Dalam
perkembangan lain, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu akan
mengadakan Op Selamat sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina selama
dua minggu mulai 25 Jan.
Azham berkata pihaknya mengenal pasti 10 lokasi 'panas' dan akan memperketat rondaan di kawasan berkenaan dalam tempoh itu.
Beliau
berkata pemilik yang ingin meninggalkan kediaman untuk pulang bercuti
boleh melaporkan ketiadaan mereka di balai polis berhampiran dan anggota
keselamatan akan melakukan rondaan di kawasan berkenaan.
"Kita
juga akan bekerjasama dengan sukarelawan skim rondaan sukarela di
kawasan rukun tetangga bagi menjaga ketenteraman awam," katanya.
Sumber : BERNAMA