Penyamun Gagal Larikan Diri
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Tidak sampai 10 minit selepas menerima laporan kejadian samun sebuah rumah di Taman Cempaka, Ampang, di sini hari ini, polis berjaya menahan seorang daripada dua suspek di Kampung Ampang Campuran.
Kedua-dua suspek berusia 30-an yang menaiki kereta Toyota Camry bagaimanapun terpaksa dikejar oleh polis peronda sejauh tiga kilometer yang menyebabkan pelanggaran dengan empat buah kereta orang awam.
Dalam cubaan melarikan diri, kereta suspek turut merempuh kedua-dua kenderaan peronda terbabit sebelum akhirnya terlanggar tiang lampu isyarat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.40 pagi iaitu 10 minit selepas pihaknya menerima aduan daripada mangsa.
Katanya, bertindak atas maklumat, dua buah kereta peronda polis berjaya mengesan kereta suspek lalu mengarahkan mereka berhenti.
"Penjenayah itu bagaimanapun tidak menghiraukan arahan sebaliknya bertindak memecut menyebabkan pihak polis terpaksa mengejar mereka. Bagaimanapun hanya seorang suspek dapat ditahan manakala rakannya melarikan diri.
"Tiada tembakan dilepaskan tetapi kedua-dua kereta peronda kita rosak selain salah seorang anggota cedera ringan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, kejadian samun tersebut berlaku kira-kira 7 pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di taman berkenaan.
Katanya, ketika kejadian, mangsa dan isterinya sedang bersiap untuk pergi ke pejabat dan menghantar dua anak mereka ke sekolah.
Difahamkan suspek turut mengacukan pedang samurai ke arah mangsa, isteri dan anaknya sebelum melarikan sebuah televisyen plasma.
"Mangsa yang tidak dicederakan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya," katanya.
Tambah Abdul Jalil, hasil pemeriksaan pihaknya menemui barang curi yang disamun selain dua pedang samurai, sebilah parang, pemotong wayar dan besi.
Katanya, pemeriksaan mendapati kereta digunakan suspek adalah kenderaan yang dilaporkan hilang di Cheras pada 7 Oktober lalu.
"Modus operandi suspek adalah menggunakan pedang samurai dan melakukan samun antara pukul 7 hingga 9 pagi tanpa memakai topeng," katanya.
Pihak polis kini memburu seorang lagi rakan suspek yang masih bebas. Suspek ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 395 dan 307 Kanun Keseksaan.