Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Pengedar Dadah Langgar Palang Tol Elak Ditangkap Polis

Diterbitkan: 13 Jun 2014 7.25 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui 41 paket heroin seberat 74 gram yang dianggarkan bernilai RM7,400 dan satu paket syabu seberat 0.5 gram bernilai RM200 yang disembunyikan di baw..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/pengedar-dadah-langgar-palang-tol-elak-ditangkap-polis
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 17:46 MYT

KUALA LUMPUR, 4 Jun 2010 -- Seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah melanggar palang tol dengan keretanya di Lebuhraya Karak awal pagi ini dalam usahanya melarikan diri daripada polis.

Tindakan lelaki berusia 27 tahun itu bagaimanapun gagal apabila akahirnya kereta Proton Wira yang dipandunya berlanggar dengan sebuah kereta Proton Iswara dan terbabas ke tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan berkata sebelum kejadian kira-kira 6.15 pagi itu, dua buah kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah terserempak dengan kereta Proton Wira tersebut yang berhenti di Hentian Rehat Karak, dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila kereta peronda menghampiri kereta tersebut, pemandunya tiba-tiba memecut laju sebelum melanggar palang tol plaza Gombak.

"Dia terus dikejar sejauh 12 kilometer arah ke selatan di mana apabila tiba di persimpangan Melawati, suspek terlanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki bersama anaknya.

"Suspek terbabas dan berjaya ditahan polis," katanya kepada pemberita.

Abdul Jalil berkata suspek mengalami kecederaan di kepala manakala lelaki dan anaknya yang sedang dalam perjalanan ke sekolah turut mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Ampang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui 41 paket heroin seberat 74 gram yang dianggarkan bernilai RM7,400 dan satu paket syabu seberat 0.5 gram bernilai RM200 yang disembunyikan di bawah tempat duduk.

"Suspek yang didapati mempunyai dua rekod jenayah membabitkan curi kenderaan dipercayai mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Gombak," katanya.

Dalam kes berasingan, taktik tiga pengedar dadah warga Indonesia menjual dadah jenis syabu di dalam benang terbongkar apabila kedai runcit yang disewa mereka di Taman Keramat Permai, Hulu Klang diserbu polis semalam.

Dalam serbuan pukul 12.30 malam itu, polis merampas 45 paket plastik lutsinar dadah syabu seberat 5.5 gram bernilai RM3,000 yang antaranya dimasukkan di dalam gelung benang dan disorok di bawah almari.

"Ketiga-tiga suspek dari Aceh itu menjalankan kegiatan mengedar dadah dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit dengan menjual dadah tersebut yang disorok di dalam gelung benang," katanya.

Beliau berkata sepaket syabu tersebut dijual dengan harga RM50 hingga RM100 dan mereka mendapat punca bekalan daripada warga Aceh yang bergiat aktif di kawasan Chow Kit.

"Pelanggan mereka hanya perlu menyebut kata laluan iaitu 'hendak beli sebuku benang' sebelum suspek menyelit syabu di dalam straw tersebut ke dalam gelung benang," katanya.

Abdul Jalil berkata kesemua suspek itu dipercayai telah aktif mengedar dadah menggunakan modus operandi tersebut lebih kurang enam bulan dengan mensasarkan kawasan Hulu Kelang, di mana pelanggannya 70 peratus terdiri dari warga tempatan.

Katanya, seorang daripada suspek yang berusia 41 tahun merupakan penduduk tetap manakala dua lagi yang berusia 22 dan 45 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Dalam serbuan itu juga polis merampas 163 karton rokok seludup pelbagai jenama antaranya Gudang Garam, Dunhill, Dji Sam Soe, Star Mild Losta Masta dan Luffman American Blend bernilai RM7,000.

"Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan dua dari mereka turut positif dadah jenis syabu," katanya.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala suspek dalam kes pertama disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952

ArtikelDiterbitkan 13 Jun 2014 7.25 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM