Penambahbaikan Secara Bersepadu Dalam Pdrm Untuk Kualiti Perkhidmatan Berterusan
Kuala Lumpur , 25 Mac 2011 - "Aspek menambah baik kebajikan pegawai dan anggota PDRM telah dilihat secara menyeluruh dari pelbagai sudut merangkumi soal elaun, kenaikan pangkat, beban tugas, penstrukturan koperasi polis dan infrastruktur serta perkakasan yang diperlukan," ujar YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri di Upacara Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis Ke 204, bertempat di Dataran Kawad Pulapol Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas kenyataannya itu, anggota PDRM tidak harus bekerja dalam persekitaran yang bukan sahaja tidak kondusif, malah boleh membahayakan diri mereka dan perlu ada peningkatan dari segi perkakasan, agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan memberikan mereka kelebihan ke atas penjenayah.
Sebagai usaha untuk meningkatkan keselesaan anggota polis dan keluarga mereka, beliau sendiri telah meminta YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara untuk melihat keperluan perumahan yang lebih baik atas faktor keselesaan kerana kediaman sebuah rumah dengan hanya dua buah bilik amat tidak sesuai kepada anggota dan keluarga anggota itu sendiri.
Usaha-usaha akan dibuat untuk memperkasa, memperkemas serta mengstrukturkan semula koperasi Polis Diraja Malaysia (KPD) agar dapat menjadi payung dan entiti pelaburan serta pendidikan kepada anggota dan anak-anak anggota, sekali gus memastikan anggota dan anak-anak anggota mendapat pulangan dan pembelaan yang sewajarnya daripada koperasi ini.
Usaha terkini sedang dijalankan oleh KDN bagi memperkukuhkan skim di bawah PDRM supaya menjadi lebih kompetetif dan berdaya maju, bukan sahaja melibatkan pegawai kanan PDRM tetapi juga perlu lebih menyeluruh melibatkan perubahan gaji matriks dan elaun-elaun di kalangan pegawai rendah polis (PRP) dan Konstabel.
Skim perkhidmatan yang akan diperkenalkan ini bertujuan menambah baik dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelayakan masuk, penggredan semula struktur pangkat, struktur gaji matriks, dan imbuhan tetap sejajar dengan saranan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM bagi memastikan Skim Perkhidmatan Polis sentiasa relevan dan berdaya saing berbanding Skim Perkhidmatan yang lain.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyeru setiap warga PDRM supaya menerapkan budaya profesionalisme dalam penugasan mereka.
Dalam melaksanakan tugas, rakyat mengharapkan anggota yang mesra rakyat dan bersifat membantu dan bagi penjenayah serta pihak yang sengaja mencabar undang-undang, PDRM perlu bertindak tegas dalam melaksanakan tugas tanpa pilih kasih dan jangan biarkan mana-mana anggota mencemarkan imej pasukan polis.
"PDRM perlu bersatu sebagai satu pasukan dan bercakap dalam satu nada dan satu suara. Hanya dengan kesatuan fikiran dan tindakan serta melaksanakan tugas sejujur-jujurnya sahaja, tuan-tuan dan puan-puan dapat menjadikan PDRM telus dan berwibawa seperti yang diharapkan oleh rakyat dan seterusnya dapat kita angkat sebaris dengan pasukan polis terbaik di dunia," akhiri ucapan oleh YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri.
Ucapan oleh YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri di Upacara Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis Ke 204 Tahun