Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Penahanan Pemilik Akaun Facebook Sultan Yang Setan

Diterbitkan: 10 Jun 2014 6.59 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Dengan kerjasama orang awam dan beberapa agensi kerajaan, pihak Polis telah berjaya mengesan dan menangkap seorang lelaki Melayu, berusia 40 tahun, berhubung kes menghina dan mencela Sultan Johor..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/penahanan-pemilik-akaun-facebook-sultan-yang-setan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 13:01 MYT

BUKIT AMAN- 22 DISEMBER 2010

Dengan kerjasama orang awam dan beberapa agensi kerajaan, pihak Polis telah berjaya mengesan dan menangkap seorang lelaki Melayu, berusia 40 tahun, berhubung kes menghina dan mencela  Sultan Johor, Institusi Raja-Raja dan PDRM melalui laman sosial Facebook bertajuk "Sultan Yang Setan".

Susulan kejayaan itu, pihak polis juga telah merampas peralatan-peralatan seperti komputer, laptop, wireless router, external hardisk, pendrive,  broadband, CD Rom dan telefon bimbit daripada suspek untuk dijadikan bahan bukti di Mahkamah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, YDH CP Dato’ Wira Syed Ismail Bin Syed Azizan pada pagi ini telah mengadakan satu sidang akhbar di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman berkenaan penahanan suspek berhubung kes menghina dan mencela  Sultan Johor, Institusi Raja-Raja dan PDRM melalui laman sosial Facebook bertajuk "Sultan Yang Setan".

Suspek ditahan di sekitar Kuala Lumpur pada 29 November 2010 oleh pasukan 'Task Force' yang ditubuhkan khas bagi mengesannya. Suspek telah menggunakan akaun emel pendekar.bentan@gmail.com dan menggunakan gambar-gambar orang lain di dalam Profile akaun Facebook tersebut. Penahanan ini ekoran daripada 5 laporan polis yang telah dibuat terhadap kewujudan satu akaun Facebook iaitu "Sultan Yang Setan". 

Siasatan pihak Polis mendapati suspek telah menggunakan akaun internet orang lain dengan cara memecahkan kod keselamatan pada Wireless Router jiran-jirannya untuk melayari internet dan seterusnya mencipta akaun Facebook tersebut serta menulis komen-komen di dalamnya.

Suspek telah ditahan reman selama 7 hari untuk soal siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang melibatkan elemen-elemen mencipta akaun Facebook 'Sultan Yang Setan' dan penerbitan komen-komen yang dapat menghasut dan menimbulkan perasaan benci kepada Sultan Johor, Institusi DiRaja dan PDRM oleh masyarakat atau sesiapa yang telah membaca atau melihat kandungan 'posting' tersebut.

Dalam kenyataannya itu,YDH CP Dato' Wira Syed Ismail Bin Syed Azizan turut mengingatkan kepada pengguna internet yang menggunakan 'Wireless Router' supaya lebih berhati-hati dan mendapat nasihat daripada Internet Service Provider (ISP) masing-masing tentang bagaimana untuk meningkatkan tahap keselamatan rangkaian internet mereka agar keselamatan talian internet terjamin dan tidak diceroboh oleh orang lain.

"Matikan 'router' sekiranya tidak digunakan bagi mengelakkan orang yang tidak berkenaan menceroboh masuk menggunakan 'router' milik anda", nasihat beliau lagi.

Beliau juga mengingatkan kepada pengguna laman komuniti seperti Facebook, MySpace, Friendster dan seumpamanya, hendaklah berhati-hati dalam mendedahkan identiti diri seperti gambar, nombor telefon dan sebagainya  bagi mengelakkan penyamaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Jangan menulis apa-apa komen yang berunsur hasutan dan fitnah yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan hendaklah lebih beretika dan bertanggungjawab terhadap setiap komen atau posting yang dibuat"', ucap beliau lagi.

"Dengan berbekalkan peralatan dan perisian yang berteknologi tinggi, kita berkeupayaan untuk mengesan dan menangkap pesalah-pesalah jenayah siber untuk dibawa ke muka pengadilan", amaran YDH CP Dato' Wira Syed Ismail.


Penahanan Pemilik Akaun Facebook Sultan Yang Setan
Sidang Media oleh
YDH CP Dato' Wira Syed Ismail Bin Syed Azizan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman.


Penahanan Pemilik Akaun Facebook Sultan Yang Setan
Antara barang-barang kes yang berjaya dirampas...


Penahanan Pemilik Akaun Facebook Sultan Yang Setan
YDH CP Dato' Wira Syed Ismail Bin Syed Azizan menunjukkan 'USB Wireless Adapter' kepada pemberita bersama-sama dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Riduan bin Abd Majid (tengah).

Jurufoto       : Sjn Zaiddin bin Dahalan
Wartawan    : L/Kpl Syamsul Baharin bin Mohamed
Penyunting : Insp Haslina bt. Mohd Nor

ArtikelDiterbitkan 10 Jun 2014 6.59 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM