Penahanan Empat Individu Selesai 19 Kes Curi Kereta
SHAH
ALAM, 26 Feb - Polis menahan empat individu termasuk sepasang suami
isteri dipercayai dalang sindiket curi kereta, dalam beberapa serbuan di
Kuala Lumpur pada Ahad dan Isnin lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan bin Abdullah berkata
dengan penangkapan kesemua suspek berumur antara 21 dan 36 tahun itu,
polis percaya dapat menyelesaikan 19 kes curi kereta bernilai hampir RM500,000 di tiga negeri iaitu Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.
"Tangkapan
pertama membabitkan seorang lelaki berumur 30 tahun dari Tawau, Sabah
ditahan ketika berada dalam kereta bernombor pendaftaran palsu di Taman
Sungai Besi Indah kira-kira pukul 2 petang 24 Feb lepas," katanya dalam
sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini
hari ini.
Beliau
berkata tangkapan itu adalah susulan laporan kehilangan kereta jenis
Proton Wira milik seorang lelaki berumur 57 tahun di kawasan perumahan
Taman Sungai Indah kira-kira pukul 1.17 tengah hari, hari yang sama.
Mohd Adnan berkata suspek pertama terbabit ditahan dalam kereta milik mangsa yang mengecamnya melalui rim sport kenderaan itu.
Beliau
berkata tangkapan seterusnya membabitkan seorang lelaki berumur 36
tahun pemilik bengkel kenderaan pada pukul 6 petang hari yang sama di
rumahnya di Taman Sri Bahagia, Kuala Lumpur dipercayai dalang yang
bertindak mengasingkan komponen kenderaan curi.
"Hasil
dari tangkapan itu, membawa kepada satu lagi tangkapan membabitkan
sepasang suami isteri berumur 28 dan 21 tahun di tepi sebuah jalan
berhampiran kawasan perumahan yang sama kira-kira pukul 7.15 malam,"
katanya.
Mohd
Adnan berkata polis turut merampas sebuah kereta curi jenis Proton
Iswara yang dilaporkan hilang di Batu 9, Cheras pada tahun lepas.
Mengulas
lanjut, beliau berkata polis kemudiannya melakukan serbuan di sebuah
bengkel di Kawasan Perindustrian Nilai 7, Negeri Sembilan semalam, yang
disewa oleh suspek berusia 36 tahun terbabit dan menemui 19 kereta tanpa
enjin.
Katanya,
siasatan lanjut mendapati kesemua kenderaan itu dilaporkan hilang di
beberapa lokasi iaitu sembilan di Johor, Cheras (enam), Kajang (tiga)
dan Ampang (satu).
"Kereta
yang dicuri ialah jenis Proton Waja dan Iswara di mana lapan
daripadanya dilaporkan hilang pada 2012 dan 11 lagi pada tahun ini,"
katanya.
Kesemua suspek ditahan reman sehingga 28 Feb ini. - BERNAMA