Penagih Dadah Ditahan Cuba Seludup Motosikal Curi Ke Negara
TUMPAT,
22 Jan - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menahan
seorang penagih dadah yang cuba menyeludup sebuah motosikal curi
melalui pangkalan haram di Kampung Simpangan, di sini malam tadi.
Pemangku
Pegawai Pemerintahnya Insp Mohd Hamdan Mustafa berkata suspek ditahan
pada 8.30 malam hasil intipan anggota pasukan itu di bawah Op Cantas/Op
Lejang Khas.
"Suspek
yang berusia 32 tahun itu ditahan selepas seorang anggota PPM melihat
seorang lelaki menolak sebuah motosikal jenis Honda Wave ke arah Sungai
Golok.
"Sebaik
anggota PPM memperkenalkan diri, suspek bertindak di luar kawalan dan
berlaku pergelutan antara penagih dadah itu dengan pasukan keselamatan
kira-kira 10 minit sebelum dia berjaya ditahan," katanya pada sidang
akhbar di pejabat PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubur di sini hari ini.
Mohd Hamdan berkata seorang rakan suspek berjaya meloloskan diri dengan terjun ke Sungai Golok.
"Kami
menemui satu botol plastik mengandungi serbuk putih, dipercayai dadah
jenis heroin dan wang tunai RM500 serta sebatang besi berbentuk T yang
dipercayai digunakan suspek untuk mencuri motosikal.
"Suspek
turut gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri dan hasil ujian air
kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis Opiate,"
katanya.
Siasatan
lanjut mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan
dadah dan mengaku mencuri motosikal di Pasir Mas.
Sumber : BERNAMA