Penagih Dadah Cuba Rasuah Polis Diberkas
Penagih Dadah Cuba Rasuah Polis Diberkas
Kuantan, 12 April - Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai
terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan cuba merasuah anggota polis untuk melepaskan dirinya.
Lelaki
berusia 33 tahun yang memandu sebuah kereta itu ditahan dalam satu
sekatan jalan raya di Bandar Bentong pada 11.50 pagi semalam dan hasil
pemeriksaan polis menemui plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.6 gram dianggar bernilai RM760.
"Suspek
kemudiannya cuba merasuah anggota polis yang menahannya dengan
menghulurkan wang tunai RM400 bagi melepaskan diri," kata Ketua Polis
Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor ketika dihubungi di sini,
hari ini.
Koperal
polis yang bertugas di Balai Polis Bentong itu bertindak memberkas
suspek dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan
lanjut.
Mohamad Mansor berkata kereta suspek turut disita untuk pemeriksaan lanjut sama ada kenderaan berkenaan dicuri atau sebaliknya.
"Hasil siasatan awal juga mendapati suspek disahkan positif methamphetamine selepas ujian air kencing dijalankan," katanya.
- BERNAMA