Pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersil
PERASMIAN DAN PELANCARAN KEMPEN PENCEGAHAN JENAYAH KOMERSIL
Oleh : Sjn Zaiddin bin Dahalan
DAMANSARA - 30 November 2013. Bertempat di The Curve, Damansara, Selangor pada petang ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah menganjurkan Kempen Pencegahan Jenayah Komersil dengan kerjasama Limkokwing University Creative Technology (LUCT).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YDH Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Timbalan Ketua Polis Negara.
Pelancaran
Kempen Jenayah Komersil ini adalah hasil kerjasama dalam usaha
pencegahan jenayah melalui MoU antara Jabatan Siasatan Jenayah Komersil
(JSJK) PDRM dan Limkokwing University Creative Technology (LUCT) yang ditandatangani pada 28 Ogos 2013 yang lalu bertempat di Universiti Limkokwing.
MoU
yang telah ditandatangani tersebut akan berkuat kuasa selama lima tahun
dan dalam tempoh tersebut, pihak Universiti Limkokwing akan membantu
PDRM dalam menyediakan bahan-bahan seperti video klip, poster serta
bekerjasama dalam melaksanakan strategi Kempen Pencegahan Jenayah
Komersil ini.
"Tag line 'BE SMART' 'JANGAN JADI MANGSA JENAYAH SIBER'
bagi kempen ini merupakan kata-kata peringatan kepada pengguna-pengguna
supaya bertindak lebih bijak apabila menggunakan atau melayari
internet, komputer atau smart phone, agar mereka tidak menjadi mangsa jenayah siber", antara ucapan oleh YDH Timbalan Ketua Polis Negara.
"Terima kasih kepada Pengasas dan Presiden LUCT yang telah membuka laluan bagi menjalin satu lagi kerjasama untuk membantu PDRM dalam Kempen Pencegahan Jenayah Komersil (Jenayah Siber). Usaha
tanggungjawab sosial korporat ini sudah pasti akan memberikan manfaat
dan faedah kepada seluruh lapisan masyarakat", tambah beliau lagi.
Menurut Laporan Ancaman
Keselamatan Sophos 2013 oleh firma SOPHOS, U.S.A, dalam tempoh tiga
bulan pertama tahun ini, Malaysia berada di tempat ke-6 dunia yang
berisiko tinggi terdedah kepada ancaman jenayah siber. Misalnya,
serangan 'malware' dan penipuan dalam internet. Manakala Laporan
Jenayah Siber Norton 2012 iaitu sebuah syarikat keselamatan internet
terkemuka, menunjukkan penjenayah siber telah mengaut perolehan salah (wrongful gain) melalui kaedah ini mencecah RM331.7 bilion dari seluruh dunia.
Jika
dilihat daripada laporan polis yang diterima berkaitan Jenayah Komersil
sepanjang tahun 2011, 2012 dan 2013 (Januari hingga Oktober) statistik
menunjukkan bahawa trend jenayah komersil masa kini menjurus kepada
jenayah penipuan yang menggunakan medium siber. Manakala modus operandi
yang sering kali digunakan oleh penjenayah siber ini adalah melalui
pembelian barangan menerusi internet, pembungkusan (parcel)
dan taktik penyamaran untuk menipu mangsa. Kerugian tertinggi yang
pernah dicatatkan adalah pada tahun 2011 berjumlah lebih RM34 juta
melalui sindiket penipuan parcel.
Berdasarkan
siasatan dan kajian daripada pihak JSJK PDRM, faktor kecuaian pengguna
dan kurang kesedaran tentang teknologi merupakan penyebab utama kepada
peningkatan kes-kes penipuan jenayah siber di negara ini. Oleh yang
demikian, PDRM sedang berusaha melalui kempen ini untuk mendidik dan
meningkatkan dan pengetahuan untuk mengelak orang ramai daripada menjadi
mangsa jenayah komersil terutamanya jenayah siber
Turut hadir di Pelancaran Kempen Jenayah Komersil ini ialah Y.Bhg Tan
Sri Dato' Sri Paduka Dr Lim Kok Wing, Pengasas dan Presiden Universiti
Limkokwing, Y.Bhg Tan Sri Datuk Seri Lee Lam Thye, Naib Pengerusi
Yayasan Pencegahan Jenayah, Y.Bhg Tan Sri Dato' Seri Wok Kamaruddin
Deputy Chairman / Group Managing Director The Curve, YDH Komisioner
Polis Dato' Wira Syed Ismail bin Dato’ Haji Syed Azizan, Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil serta Dato' Seri-Dato' Seri dan
Dato'-Dato' Pengarah PDRM dan Timbalan-timbalan Pengarah dan Pegawai
Kanan PDRM.
Ketibaan YDH Timbalan Ketua Polis Negara di The Curve, Damansara
Sekitar majlis berlangsung...
Ucapan oleh YDH Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Timbalan Ketua Polis Negara.
Pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersil dengan kerjasama Limkokwing University Creative Technology (LUCT).
Penyampaian bahan kempen kepada rakan-rakan strategik PDRM ...
Lawatan ke gerai pameran...
Sila layari Facebook PDRM ...https://www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia