Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Pelajar Alami Pendarahan Dalam Kepala Dipercayai Dipukul Senior

Diterbitkan: 29 Aug 2016 10.43 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.48 AM
Alor Setar, 29 Ogos 2016 - Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Sungai Petani mengalami pendarahan dalam kepala selepas dipercayai dipukul tiga pelajar senior.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/pelajar-alami-pendarahan-dalam-kepala-dipercayai-dipukul-senior
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 22:49 MYT

Alor Setar, 29 Ogos 2016 - Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Sungai Petani mengalami pendarahan dalam kepala selepas dipercayai dipukul tiga pelajar senior.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam itu, Muhammad Anas Amir, 14, dipercayai dipukul dan dihentak pada dinding selepas menarik tangan seorang rakan sekelas untuk masuk ke dalam bilik darjah.

Bapa mangsa, Amir Ahmad, 47, berkata abang pelajar terbabit berusia 15 tahun yang ternampak tindakan Muhammad Anas itu kemudian bertindak melulu memukul anaknya bersama dua lagi rakan.

"Anak saya memberitahu dia menarik rakannya masuk ke dalam kelas selepas diminta guru dan mungkin berlaku salah faham yang menyebabkan abang pelajar terbabit memukul Muhammad Anas," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Katanya anak ketiganya daripada lima beradik itu hanya memberitahu isterinya, Suriyati Che Said, 47, mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 3 petang semalam selepas mengadu sakit kepala.

Amir berkata anaknya mengalami muntah-muntah ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan.

"Hasil imbasan mendapati terdapat darah beku di bahagian kanan kepala dan anak saya dirujuk ke HSB kira-kira pukul 2 pagi tadi sebelum pembedahan membuang darah beku dibuat pada pukul 4.30 pagi tadi," katanya.

Amir berkata beliau telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada pukul 10 malam tadi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata pihaknya telah menahan empat pelajar lelaki yang terbabit dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 29 Aug 2016 10.43 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.48 AM