Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Pelajar Afrika Jual Dadah

Published: 13 Jun 2014 5.34 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
Kegiatan dua lelaki warga Afrika itu terbongkar selepas mereka ditahan sepasukan polis kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 3.1 kilogram di kawasan Bukit Bintang pada Sabtu lalu..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/pelajar-afrika-jual-dadah
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 06:53 MYT

KUALA LUMPUR 12 Mei 2010 - Belum sempat menamatkan pengajian dalam jurusan Pengurusan Perniagaan di sebuah kolej swasta di sini, dua pelajar didapati menjalankan 'perniagaan' dengan menjual dadah.

Kegiatan dua lelaki warga Afrika itu terbongkar selepas mereka ditahan sepasukan polis kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 3.1 kilogram di kawasan Bukit Bintang pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, ketika ditahan, suspek yang berusia 28 dan 22 tahun itu dipercayai baru mendapat bekalan dadah tersebut daripada pengedar lain di kawasan itu.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap beg baju yang dibawa mereka, polis menemui satu bungkusan berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.

"Dadah itu yang mungkin untuk pasaran dalam dan luar negara dianggar bernilai kira-kira RM240,000 mengikut harga borong dan jika diproses nilainya boleh mencecah sehingga RM1.8 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Chez Chiang memberitahu, hasil saringan air kencing mendapati suspek berusia 22 tahun positif ganja manakala rakannya negatif.

Menurutnya, polis juga kini sedang menyiasat kedua-dua suspek bagi mengetahui dalang sebenar sindiket pengedaran dadah tersebut.

Jelasnya, kedua-dua mereka kini direman selama seminggu sejak Ahad lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata, dengan penahanan dua lelaki warga Afrika tersebut ia menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 14 warga Afrika telah ditahan kerana mengedar dadah setakat ini.

"Mengikut kiraan tahun lalu, daripada seramai 502 warga asing yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti dadah, 24 daripadanya merupakan warga Afrika," ujarnya.

ArticlePublished 13 Jun 2014 5.34 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM