Suspek Samun Cedera Di Tembak
JOHOR BAHRU 11 Mei 2010 - Seorang penjenayah dipercayai warga Indonesia berputih mata apabila bukan sahaja gagal menyamun seorang warga emas tetapi turut cedera ditembak polis di kakinya.
Kejadian berlaku pada pukul 2.40 petang ketika suspek berusia 30-an bersama tiga rakannya cuba menyamun mangsa berusia 68 tahun di sebuah bank di Taman Pelangi, di sini hari ini.
Ketika itu, mangsa baru mengeluarkan wang tunai RM14,000 yang diletakkan di dalam sebuah beg komputer riba dan sedang menuju ke kenderaannya.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mangsa bagaimanapun tiba-tiba dihampiri oleh suspek yang kemudian menyerangnya.
"Anggota polis yang kebetulan berada di kawasan itu lalu bertindak membantu mangsa. Namun suspek turut menyerangnya sebelum tiga lagi rakan suspek datang menyerbu.
"Bagi mempertahankan diri, anggota berkenaan melepaskan dua das tembakan dan mengenai salah seorang suspek," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, suspek yang cedera dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan manakala tiga lagi rakannya melarikan diri menggunakan dua motosikal.
"Mereka juga gagal melarikan sebarang hasil samun," katanya.
Beliau berkata, kumpulan berkenaan dikenal pasti amat dikehendaki polis berikutan terbabit dengan beberapa siri rompakan di sekitar negeri ini.
Katanya, kesemua suspek dipercayai menginap di hotel bajet di negeri ini sebelum melakukan rompakan.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan," ujarnya