
Pdrm Terima Bot Daripada Syarikat 7 Eleven Malaysia Untuk Misi Bencana Banjir
Putrajaya, 7 Disember 2022 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menerima sumbangan 30 buah "inflatable boat" daripada Syarikat 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd. untuk kegunaan misi bantuan banjir di Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, di sini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) CP Dato’ Sri Hazani Ghazali yang mewakili Ketua Polis Negara dengan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Syarikat 7-Eleven Malaysia, Encik Tan U-Ming serta Encik Wong Wai Keong.
Selain bot yang dilengkapi enjin dengan 20 kuasa kuda (hp) dan 15 hp, Syarikat 7-Eleven Malaysia juga menyumbangkan 300 helai "foam life jacket" kepada PDRM serta bungkusan makanan untuk diagih-agihkan kepada mangsa banjir kelak.
Gimik penyerahan replika kunci bot kepada PDRM tadi turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), DCP Gilbert Philip Layang, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Dato’ Yahaya Othman, Komander PPM SAC Rosman Ismail, Komander 69 Komando, SAC Hamzah Hashim dan Komander Pasukan Simpanan Perseketuan, SAC Mohd Said Ibrahim.
Juga memukau perhatian tetamu yang hadir tadi ialah demonstrasi pantas menyelamat oleh Pegawai dan Anggota PPM di Tasik Putrajaya, sebagai tirai penutup majlis.
Jurugambar: Koperal Muhamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin