Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Pdrm Pasang Sistem Solar Hibrid Di Balai Polis Pulau Mabul

Published: 23 Aug 2015 8.07 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Semporna, 23 Ogos - Dalam usaha merealisasikan amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memasang sistem solar hibrid di Balai Polis Pulau Mabul yang dijangka mula beroperasi hujung bulan depan.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/pdrm-pasang-sistem-solar-hibrid-di-balai-polis-pulau-mabul
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 17:48 MYT
PDRM PASANG SISTEM SOLAR HIBRID DI BALAI POLIS PULAU MABUL

Semporna, 23 Ogos 2015 - Dalam usaha merealisasikan amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memasang sistem solar hibrid di Balai Polis Pulau Mabul yang dijangka mula beroperasi hujung bulan depan.

Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman Dato' Pahlawan Zulkifli Abdullah berkata pemasangan sistem solar hibrid itu adalah yang pertama dan merupakan satu lagi inisiatif hijau PDRM bertujuan mengurangkan kos bahan api serta pelepasan gas karbon dioksida, khususnya di kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik.

"Pemasangan solar hibrid yang mempunyai komponen iaitu jana kuasa, solar panel dan bateri itu mula dilaksanakan pada 23 Ogos lepas dan projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Telekom Malaysia Bhd (TM) dan PDRM.

"Balai Polis Pulau Mabul dipilih untuk pemasangan sistem solar kerana tiada bekalan elektrik dan hanya bergantung kepada jana kuasa yang menggunakan diesel yang menggunakan kos yang tinggi termasuk kos penghantaran," katanya kepada Bernama selepas melawat sistem solar berkenaan, dekat sini hari ini.

Beliau berkata dengan adanya sistem solar hibrid, dijangka kos bahan api dapat dikurangkan kepada RM172,000 setahun berbanding sebelum ini yang memakan kos sehingga RM700,000 setahun.

Dato' Zulkifli berkata kajian pemasangan sistem solar hibrid itu telah dibuat oleh Bahagian Analisis dan Pembangunan Teknologi (TECHAD) PDRM, START dengan kerjasama Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) di bawah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan TM.

"Sekiranya ia (sistem solar hibird) berkesan dan memberi pulangan signifikan dari segi penjimatan kos bahan api dan pengeluaran karbon dioksida, projek seperti ini akan diperluaskan ke balai dan pos kawalan yang terletak di kawasan pulau dan pedalaman yang tidak mempunyai bekalan elektrik," katanya.

Sementara itu, Dato' Zulkifli berkata bagi mempertingkat kemudahan kepada anggota polis yang bertugas di kawasan pulau, kerajaan bersetuju mewujudkan kontrak baharu bagi pembekalan air bersih. "Kami faham isu air bersih ini merupakan satu masalah utama yang dihadapi anggota polis yang bertugas di kawasan pulau-pulau dan kami berharap selepas ini masalah itu dapat diatasi," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kediaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang terjejas akibat gempa bumi pada 5 Jun lepas masih selamat digunakan dan tidak perlu dirobohkan.

"Kami telah menjalankan pemeriksaan secara terperinci dan mendapati kediaman itu masih selamat digunakan dan hanya perlu dibaik pulih bagi mengukuhkan semula bangunan berkenaan," katanya. - BERNAMA

2
Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman Dato' Pahlawan Zulkifli Abdullah menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada pegawai dan anggota yang bertugas di Balai Polis Pilau Mabul..




4

3
Sesi bergambar kenangan bersama Penagarah Pengurusan PDRM, Dato' Pahlawan Zulkifli Abdullah..


ArticlePublished 23 Aug 2015 8.07 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM