Pasukan Marin Johor Patah Cubaan Seludup Keluar Pendatang
Johor
Bharu, 24 Dis - Pasukan Marin Wilayah Dua Johor berjaya mematahkan dua
cubaan menyeludup keluar pendatang tanpa izin dengan menahan 58 orang
warga Indonesia dalam Ops Cantas Khas (Perairan) di Pantai Batu Layar,
Sungai Rengit dan Jeti Terminal Feri Tanjung Belungkor, Kota Tingi
semalam.
Timbalan
Komander pasukan Supt N.Kalai Chelcan berkata dalam serbuan pertama
kira-kira pukul 8 malam itu, tiga anggota dari Markas Taktikal Pasukan
Polis Marin Pengerang, Kota Tinggi dengan dibantu enam anggota Rela
telah menyerbu sekumpulan pendatang tanpa izin yang ketika itu berkumpul
di Pantai Batu Layar, Sungai Rengit.
"Mereka
ketika itu dipercayai menunggu bot pancung untuk pulang ke Indonesia
dan sebaik menyedari kehadiran polis, mereka melarikan diri ke arah
hutan berhampiran, namun tujuh daripada mereka berjaya ditahan," katanya
dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya,
hasil pemeriksaan mendapati ketujuh-tujuh lelaki yang ditahan berumur
20 hingga 32 tahun itu, tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang
sah dan mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk
tindakan lanjut.
Sementara
dalam serbuan kedua di Jeti Terminal Feri Tanjung Belungkor, Kota
Tinggi kira-kira jam 11.30 malam, sebanyak 50 pendatang tanpa izin dan
seorang kapten kapal, mereka berumur antara 15 hingga 51 tahun, ditahan
ketika sedang bersedia belayar ke Indonesia.
"Bertindak
atas maklumat sepasukan sembilan Polis Marin dari unit yang sama dengan
diketuai seorang pegawai dan dibantu oleh bot ronda PSC 29 enam anggota
Rela, kami telah menahan sebuah feri yang bersedia untuk berlepas ke
Indonesia.
"Pemeriksaan
mendapati feri tersebut membawa 50 penumpang yang tidak mempunyai
dokumen perjalanan sah atau pas lawatan tamat tempoh, sehubungan itu
kapten kapal berkenaan dan kesemua pendatang tanpa izin terbabit ditahan
dan dibawa balik ke Balai Polis Pengerang untuk tindakan selanjutnya,"
katanya.
Kes
disiasat mengikut Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen
perjalanan yang sah serta Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan
Penyeludupan Migran 2007.
Kalai
berkata Polis Marin amat komited dalam membanteras kesalahan yang boleh
menggugat kedaulatan negara dan akan terus meningkatkan usaha untuk
memastikan perairan negara bebas daripada unsur-unsur kesalahan jenayah.
Beliau turut
mengalu–alukan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat mengenai
apa–apa juga kegiatan yang menyalahi undang–undang khususnya di kawasan
pesisir pantai. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Komander
Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2) Johor di talian 07–237 2222 atau
07–237 6122.
Sumber : BERNAMA