
Article
Opbenteng Artikel Pilihan Batalion 7 Pga Catat Rampasan Hampir Rm5 Juta Menerusi Op Benteng Covid 19 Kelantan
Pasir Mas, 16 Januari 2022 - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan dalam Op Benteng COVID-1...
Pasir Mas, 16 Januari 2022 - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan dalam Op Benteng COVID-19 Kelantan yang bermula 16 Disember lepas membabitkan nilai rampasan hampir RM5 juta.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata dalam operasi tersebut sebanyak 101 kes direkodkan antaranya kegiatan penyeludupan barangan kontraban, penyeludupan hidupan liar (eksotik), barangan kawalan atau bersubsidi seperti tepung, minyak masak dan petrol.
"Kita juga berjaya menahan seramai 125 orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut termasuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Myanmar, Thailand dah Indonesia yang memasuki negara ini melalui pangkalan haram," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Superintendan Azhari berkata walaupun terpaksa menutup beberapa lokasi penugasan akibat banjir, namun operasi tetap diteruskan dengan menggunakan kenderaan berat seperti motolori di kawasan yang dilanda banjir manakala rondaan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan motosikal bagi kawasan yang tidak dilanda banjir.
"Bagi penugasan kali ini, Batalion 7 PGA lebih menumpukan pengumpulan maklumat risikan manakala serbuan dan operasi lebih menjurus kepada stor-stor dan premis yang dijadikan transit pengumpulan barangan seludup, penyeludupan rokok yang tidak bercukai, dadah, senjata api dan barangan kawalan," katanya.
Sumber: BERNAMA