Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Op Warta Tiada Kompromi Kepada Pesalah Trafik Yang Degil

Diterbitkan: 19 May 2015 12.36 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kuala Lumpur, 18 Mei - Polis tidak akan berkompromi untuk menahan mana-mana pesalah trafik yang masih berdegil untuk menjelaskan saman masing-masing sebaik Op Warta bermula esok.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/op-warta-tiada-kompromi-kepada-pesalah-trafik-yang-degil
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 19:03 MYT


Kuala Lumpur, 18 Mei - Polis tidak akan berkompromi untuk menahan mana-mana pesalah trafik yang masih berdegil untuk menjelaskan saman masing-masing sebaik Op Warta bermula esok.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Dato' Mohd Fuad Abdul Latiff berkata mereka yang ditahan akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan, memandangkan mereka telah diberi masa untuk menyelesaikan saman yang dikeluarkan.

Ketika ditemui Bernama, beliau berkata sehingga semalam hanya 35,339 daripada 1.59 juta saman berstatus waran tangkap yang dikeluarkan susulan kegagalan pengguna jalan raya membayar saman dan menghadiri perbicaraan di mahkamah, telah diselesaikan.

Bagi tempoh sama, sebanyak 232,312 pelbagai saman juga dijelaskan oleh pesalah trafik.

"Waran tangkap itu merupakan saman yang berbentuk fizikal seperti kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, tidak membawa lesen memandu, memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah.

"Selalunya saman begini, sudah ditetapkan tempoh pembayaran yang perlu diselesaikan oleh pesalah trafik, namun jika gagal membayar selepas tempoh itu, barulah tindakan mahkamah akan diambil," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata hanya setelah pesalah trafik itu gagal hadir perbicaraan di mahkamah, waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka.

Dalam perkembangan sama, Mohd Fuad berkata pesalah trafik masih boleh menyelesaikan saman mereka selagi masih belum ditangkap meskipun Op Warta telah bermula.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengemaskini rekod pembayaran saman waran tangkap setiap hari bagi mengelakkan mereka menahan pesalah trafik yang telah melunaskan samannya sebelum sesuatu operasi oleh polis.

Bagi saman waran tangkap yang telah diselesaikan, saman itu akan dibawa ke mahkamah untuk 'dimatikan', katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fuad berkata tiada had tempoh ditetapkan bagi pelaksanaan Op Warta kali ini dan menegaskan ia akan diteruskan sehingga polis 'berpuas hati' bahawa sejumlah 1.59 juta saman itu telah diselesaikan.

Angka 1.59 juta itu merupakan baki daripada 1.8 juta saman yang diumumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar dalam Op Selamat 5 yang dilancarkan semasa Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 19 May 2015 12.36 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM