Op Soga 5 Polis Lumpuhkan Sindiket Judi Bola
Bukit Aman, 26 Jun – Bertindak atas maklumat dan risikan yang dibuat selama hampir empat minggu, Bahagian Kongsi Gelap/Perjudian/Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM Bukit Aman dengan dibantu oleh Unit Siber Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan Unit Forensik D10 JSJ telah berjaya melumpuhkan dua sindiket perjudian pertaruhan Piala Dunia yang bergiat aktif di Lembah Klang, semalam.
Dalam operasi yang dinamakan Op Soga 5 ini, serbuan yang pertama di sebuah kompleks perniagaan di Pudu telah menyaksikan pihak polis berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20 sehingga 32 tahun di dalam premis berkenaan.
Serbuan tersebut turut melibatkan hasil rampasan berupa tiga buah komputer riba, buku-buku catitan pertaruhan dan lain-lain perkakasan yang digunakan dalam sindiket terbabit.
Dalam satu serbuan yang berasingan di sekitar Kuala Lumpur, 12 buah ‘server’ yang disyaki terdapat laman web aktiviti perjudian turut dirampas.
Berdasarkan kepada siasatan awal oleh pihak polis, rangkaian perjudian ini melibatkan rantau Asia Pasifik seperti Hong Kong serta lain-lain lagi dan dipercayai suspek-suspek yang ditahan merupakan ejen perjudian yang mempunyai sehingga 1,500 orang pelanggan dengan setiap pertaruhan kredit limit yang dibenarkan berjumlah RM5,000 sehari.
Anggaran keseluruhan pertaruhan satu hari adalah sebanyak RM7.5 juta dan sehingga kini, anggaran pertaruhan terkumpul adalah berjumlah RM105 juta.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta
Pertaruhan 1953 dan jika disabitkan kesalahan, penganjur tesebut boleh
dikenakan denda tidak RM20,000 sehingga RM200,000 atau penjara tidak
melebihi lima tahun manakala bagi pemain yang didapati terlibat boleh
disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 yang
mana boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 6
bulan atau kedua-duanya.