Op Cantas Khas Cekup Individu Terlibat Pelbagai Jenayah
Kuala
Lumpur, 27 Ogos - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis
Bukit Aman membuat tangkapan ke atas 1,895 individu yang terlibat dalam
pelbagai kesalahan jenayah dalam Op Cantas Khas yang dilancarkan di
seluruh negara sejak 17 Ogos lalu sehingga semalam.
Ketua
Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, jumlah
ditahan itu adalah daripada 56,398 individu yang diperiksa dalam sekatan jalan raya, serbuan dan pemeriksaan polis.
Daripada jumlah individu ditahan itu, seramai 792 suspek yang ditahan berketurunan Melayu diikuti 591 Cina dan 252 India.
"Polis
turut merampas senjata api iaitu dua laras senapang angin buatan
sendiri, 20 butir peluru serta senjata tajam seperti pedang (12), pisau
(29), Stun Gun (10), parang (19) dan masing-masing seunit kapak, besi
tajam, tukul besi dan kayu panjang," katanya.
Abdul
Jalil seterusnya berkata, pemeriksaan pihaknya ke atas 32,945 buah
kenderaan berjaya merampas 28 buah kereta, motosikal (21) dan lain-lain
kenderaan (12) yang dipercayai dicuri.
Menurut
beliau, dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, sebanyak 472 individu ditahan
dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah.
"Kita
merampas senjata api, pedang, pisau dan 18 buah kenderaan curi. Jumlah
individu yang ditahan itu adalah hasil pemeriksaan ke atas 7,962 orang
dan 5,053 kenderaan," katanya.
Beliau
memberitahu, dalam operasi itu, seramai 153 orang pegawai kanan serta
767 anggota JSJ daripada seluruh negara telah bergabung tenaga
menjayakannya.

Sumber : Utusan Malaysia