Minuman Keras Dan Rokok Putih Berjaya Dirampas Marin Kg Acheh
Lumut, 10 Ogos – Sepasukan Unit Ronda Marin (URM) dari Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh berjaya merampas pelbagai rokok putih dan minuman keras di sebuah premis di Lumut Port Industrial Park, hari ini.
Komander PPM Wilayah 1, ACP Mohd Yusof Abdullah berkata, serbuan yang dijalankan sepasukan URM ke atas sebuah premis perniagaan itu berjaya merampas rokok putih pelbagai jenis dan minuman keras yang disimpan di dalam kotak di bawah meja kaunter.
“Setelah pemeriksaan lanjut, pihak polis mendapati terdapat sejumlah 117 kartun rokok putih dan 385 botol minuman keras pelbagai jenama.
“Ekoran dari penemuan tersebut, seorang lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis terbabit telah ditahan untuk disoalsiat,”katanya.
Kesemua hasil rampasan bernilai RM32,865 dan lelaki terbabit telah dibawa balik ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh untuk dioalssiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957.