Mesyuarat Agung Bersama Ppkp Cpw Ppkp Ci Dan Pprpd 2007 2008
Setiu -15 Julai 2007. Mesyuarat Agung Bersama Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Pegawai Diwartakan (PPKP/CPW), Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Inspektor (PPKP/CI), Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD) 2007/2008 telah berlangsung di Sutra Beach Resort Setiu, Terengganu pada 11 hingga 14 Julai 2007.
YDH Tan Sri Musa bin Dato' Hj. Hassan, Ketua Polis Negara telah merasmikan mesyuarat tersebut yang turut dihadiri oleh YDH Dato' Ismail bin Hj. Omar, Pengarah Pengurusan PDRM dan YDH Datuk Ayub bin Hj. Yaakub, Ketua Polis Terengganu.
Menurut YDH Tan Sri Musa bin Dato' Hj. Hassan, para perwakilan berperanan penting untuk menyampaikan mesej pucuk pimpinan lebih efektif ke peringkat akar umbi.
"Pelan Strategi 5 Tahun (PS5T)' merupakan langkah untuk menjamin tercapainya Visi dan Misi pasukan. Kejayaan agenda PS5T adalah bergantung kepada mesej yang diterima oleh semua peringkat warga PDRM yang disampaikan oleh para perwakilan sekalian. Adalah menjadi harapan saya, agar perwakilan berupaya menjadi penggerak utama dalam setiap aktiviti pasukan di samping mengingatkan warga PDRM untuk terus memberikan khidmat bakti yang tulus ikhlas, dedikasi dan bertanggungjawab", ujar YDH Tan Sri Musa ketika berucap di majlis perasmian.
Kata YDH Tan Sri Musa, kita tidak boleh alpa kerana era globalisasi, ICT dan liberalisasi ini, pasukan dan negara khususnya terdedah kepada pelbagai ancaman dan cabaran.
"Apabila kesemuanya bergerak di landasan yang betul, saya yakin hasrat untuk menjadi PDRM terbilang di dunia akan tercapai", ujar YDH Tan Sri Musa dengan penuh harapan.
Pada majlis itu, YDH SAC II Dato' Jamaludin Hj. Khalid, Presiden PPKP/CPW, C/Insp. Basharuddin Mohd Nordin, Presiden PPKP/CI dan Sub Insp. Jamal Abdullah Presiden PPRPD telah menyampaikan ucapan masing-masing dengan membawa mesej persatuan yang dipimpin.
Lagu berjodol 'BERBAKTI' ciptaan Sub Insp. Mohd Rozi Abd. Halim, Timbalan Ketua Polis Balai Kota Setar, Kedah telah diisytiharkan oleh YDH Tan Sri Musa sebagai lagu rasmi persatuan.
Pada majlis itu, Presiden PPRPD Sub Insp. Jamal Abdullah telah menyerahkan Buletin SUARA PPRPD "Permata Pasukan" terbitan berkala oleh PPRPD Malaysia kepada Tan Sri Musa Dato' Hj. Hassan Ketua Polis Negara.
Diketuai oleh SAC II Dato' Jamaludin Hj. Khalid bersama C/Insp. Basharudin Nordin dan Sub Insp. Jamal Abdullah, Ikrar Persatuan taat setia kepada pucuk pimpinan pasukan dan negara telah dilafazkan secara serentak oleh para perwakilan ketiga-tiga persatuan.
Sebelum itu, sebelah malamnya, telah berlangsung Majlis Makan Malam Bersama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Hj. Idris bin Jusoh.

'Permata Pasukan'...Presiden PPRPD, Sub Insp. Jamal Abdullah telah menyerahkan Buletin SUARA PPRPD "Permata Pasukan" terbitan berkala oleh PPRPD Malaysia kepada YDH Tan Sri Musa bin Dato' Hj. Hassan, Ketua Polis Negara sambil disaksikan oleh YDH Dato' Ismail bin Hj. Omar, Pengarah Pengurusan PDRM.