Menteri Dalam Negeri Dan Pesuruhjaya Polis Australia Di Bukit Aman
Kunjungan ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala mengenai soal keselamatan antara Malaysia dan Australia. Perbincangan secara tertutup yang berlangsung di Pejabat Ketua Polis Negara ini turut dihadiri oleh YB Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, YDH Tan Sri Hj. Ismail Bin Hj. Omar, Ketua Polis Negara, YDH Datuk Hussin Bin Hj Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara, YDH CP Dato' Khalid Bin Abu Bakar, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) serta beberapa Pegawai Kanan PDRM.
Perkara yang menjadi isu utama dalam pertemuan ini ialah berkenaan dengan usaha sama dalam menangani kegiatan keganasan, pemerdagangan serta penyeludupan manusia, jenayah rentas sempadan, penggubahan wang haram, penyeludupan senjata api, masalah dadah, penjualan/pembelian saham dalam talian dan jenayah siber. Semua kegiatan jenayah tersebut adalah berkait rapat dengan pergerakan manusia, transaksi kewangan dan aktiviti jenayah kolar putih (pemalsuan dokumen dalam konteks sindiket jenayah terancang).
Turut dibincangkan secara lebih terperinci ialah mengenai inisiatif yang sedang diusahakan oleh Malaysia bagi menangani isu-isu berkaitan jenayah rentas sempadan menerusi penubuhan Malaysian Academy on Transnational Organised Crime (MATOC) di Langkawi Kedah. Dato' Seri Hishammuddin juga melahirkan keyakinan beliau bahawa kerjasama kukuh antara Malaysia-Australia ini akan dapat dikembangkan lagi untuk masa hadapan. Delegasi turut melawat Pangkalan Marin Port Klang untuk melihat langkah-langkah yang dilaksanakan oleh PDRM dalam usaha mengukuhkan kerjasama tersebut.

YDH Tan Sri Hj. Ismail bin Hj. Omar bersama rakan sejawatannya Commisioner Tony Negus menuju ke bilik perbincangan.

Commisioner Tony Negus menandatangani buku lawatan di Pejabat KPN, Tingkat 31 Menara 1 Bukit Aman.

Delegasi Australia bersama YDH Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara.

YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama rakan sejawatannya dari Australia, H.E Brendon O' Connor.

Delegasi Australia bergambar kenangan bersama pucuk pimpinan PDRM.

Delegasi Australia dibawa menaiki Bot Marin menyusuri sempadan perairan di Port Kelang, Selangor.

Antara
anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) yang bersiap sedia dalam apa jua
keadaan cuaca bagi menjaga keselamatan perairan negara.
Wartawan : Konst. Norliza Basrah
Gambar : L/Kpl Baharin