Mekanik Ditahan Bersama 67 Botol Heroin Di Marang
Kuala
Terengganu, 15 Dis - Seorang mekanik yang dipercayai pengedar dadah
ditahan polis di Marang bersama-sama 67 botol serbuk putih yang
dipercayai heroin seberat 338.36 gram bernilai kira-kira RM27,000.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supt Md Tahir Kasim berkata
lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di dalam keretanya pada 10.45 pagi
Rabu lepas di tepi Jalan Rhu Renggeh, Marang.
Hasil
pemeriksaan di dalam kereta itu, polis turut menjumpai 180 biji pil
Erimin 5 dan 90 biji Pil WY (methamphetamine) selain 67 botol heroin
itu, katanya dalam sidang media di sini hari ini.
"Pemeriksaan
lanjut kita menjumpai satu botol dadah jenis yang sama disorokkan di
dalam seluar dalam yang dipakai suspek serta pihak kita turut menemui
dadah tersebut yang disembunyikan di dalam botol produk kesihatan
tambahan," katanya.
Katanya
polis percaya lelaki yang berasal dari Kuala Terengganu itu aktif dalam
kegiatan pengedaran dadah di sekitar Marang dan Kuala Terengganu.
Md
Tahir berkata polis percaya dadah itu dibawa masuk dari negara jiran
dan juga sedang mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah itu.
"Siasatan
lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan. Dengan tertangkapnya suspek
ini kita berjaya mematahkan pengedaran dadah di dua daerah iaitu Marang
dan Kuala Terengganu," katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati suspek mempuyai enam rekod jenayah berhubung kesalahan dadah.
Katanya
suspek yang juga positif Methamphetamine itu direman sehingga 19 Dis
ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang
memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Sumber : BERNAMA