Markas Sindiket Jerat Cinta Internet Diserbu
KUALA LUMPUR - 23 September 2009. Polis melumpuhkan satu sindiket penipuan menghantar bungkusan hadiah palsu yang didalangi lima pelajar warga Afrika selepas menyerbu sebuah apartmen di Petaling Jaya dan Seri Petaling di sini baru-baru ini.
Sindiket yang didalangi oleh lima pelajar lelaki warga Nigeria berusia antara 19 dan 30 tahun tersebut ditahan pada pukul 2 petang 9 September lalu selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan daripada seorang wanita berusia 36 tahun. Mangsa yang merupakan seorang pegawai di sebuah syarikat petroleum di sini kerugian RM25,500 kerana memasukkan wang tersebut ke dalam satu akaun kononnya bagi menuntut satu bungkusan yang dihantar dari luar negara.
Sindiket tersebut amat licik
apabila memperdaya tanpa disedari mangsa. Tembelang sindiket tersebut
pecah apabila pihak polis menahan seorang wanita tempatan berusia 48
tahun yang merupakan pemilik akaun yang digunakan untuk mangsa
memasukkan wang. Empat jam kemudian, polis menyerbu sebuah rumah di
Petaling Jaya dan menahan seorang lelaki Afrika berusia 30 tahun yang
dipercayai perancang utama sindiket tersebut.
Suspek
merupakan seorang pelajar di sebuah kolej swasta di situ dan bersama
suspek, pihak polis merampas sebuah buku bank dan kad bank milik wanita
tersebut. Susulan dari itu, polis menyerbu markas sindiket di sebuah
pangsapuri mewah di Seri Petaling dan menahan empat lelaki Nigeria
berusia 19 dan 28 tahun serta merampas empat komputer riba yang
mempunyai maklumat perbualan internet dengan mangsa. Selain itu, sebuah
kereta Toyota Vios milik suspek juga telah dirampas. Kesemua suspek
ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun
Keseksaan.