Marin Patahkan Cubaan Pati Guna Laluan Tikus Keluar Malaysia
Kota Tinggi, 21 Nov - Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba untuk menyusup keluar dari Malaysia menggunakan laluan haram, berjaya dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang, berdekatan kawasan hutan, Jalan Bukit Tuatau, di sini, awal pagi tadi.
Komander PPM Wilayah 2, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, seramai 23 PATI berjaya ditahan dalam Op Landai pada jam kira-kira 1.40 pagi itu.
"Serbuan dibuat di kawasan hutan dan mendapati sekumpulan PATI sedang menunggu bot pancung ke Indonesia", katanya.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat terdapat kegiatan keluar masuk PATI ke negara ini yang aktif menggunakan 'laluan tikus' untuk mengelak ditahan oleh pihak berkuasa.
Tambah beliau, kesemua PATI yang terdiri daripada 10 lelaki, 10 wanita, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan itu dibawa ke Balai Polis Penawar untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.