Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Makmal Dadah Diserbu

Published: 13 Jun 2014 9.36 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
HULU LANGAT 27 Julai - Tindakan licik seorang duda yang menjadikan rumahnya di Taman Paling Jaya, Semenyih di sini sebagai makmal memproses dadah sejak enam bulan lalu akhirnya terbongkar apabila kedi..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/makmal-dadah-diserbu
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 04:49 MYT

Hulu Langat - 27 Julai - Tindakan licik seorang duda yang menjadikan rumahnya di Taman Paling Jaya, Semenyih di sini sebagai makmal memproses dadah sejak enam bulan lalu akhirnya terbongkar apabila kediaman itu diserbu polis semalam.

Dalam serbuan pukul 4.15 petang itu, polis menemui sejumlah peralatan dan bahan kimia dipercayai digunakan untuk memproses pelbagai jenis dadah. Turut ditemui, dadah jenis ketamin seberat 803 gram dan 791 gram pil ekstasi yang siap diproses.

Kesemua nilai rampasan adalah RM23,000.

Namun apa yang mengejutkan adalah penemuan sebanyak 11 penutup bom tangan dan 30 butir kelongsong peluru raifal M-16 di rumah teres setingkat suspek berusia 40 tahun itu.

Polis kini menyiasat bagaimana suspek yang juga merupakan penagih dadah, boleh memiliki barangan tersebut dan motif dia menyimpannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood berkata, polis percaya suspek mungkin mengutipnya dari salah satu lokasi pusat latihan pasukan penguat kuasa.

"Kita percaya suspek mungkin ingin menjual barangan itu untuk mendapatkan wang tunai. Ini kerana kelongsong peluru raifal diperbuat daripada tembaga dan adalah sangat bernilai jika dijual, begitu juga dengan penutup bom tangan.

"Satu lagi kemungkinan adalah dia ingin menggunakannya untuk membuat bahan letupan, kita tidak pasti. Biarlah kita siasatnya dahulu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.

Mengulas lanjut latar belakang suspek dan kegiatannya itu, Shakaruddin memberitahu, lelaki itu, walaupun berstatus amatur, tetapi dipercayai mempunyai kebolehan untuk memproses pelbagai dadah seperti syabu, ketamin dan pil ekstasi.

Katanya, siasatan awal polis mendapati dadah yang diproses suspek untuk diedarkan di sekitar daerah ini dan kawasan-kawasan berhampiran.

"Polis sedang menyiasat sekiranya lelaki itu beroperasi secara bersendirian atau mempunyai rangkaian," jelas beliau.

Tambah Shakaruddin, suspek tinggal di rumah tersebut sejak lapan tahun lalu dan isterinya meninggal dunia pada tahun 2005. Dia mempunyai seorang anak yang kini dijaga ibu bapa suspek.

Katanya, polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

ArticlePublished 13 Jun 2014 9.36 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM