Majlis Seminar Sehari Hala Tuju Industri Keselamatan Di Malaysia
Petaling Jaya - 13 Oktober 2010. Majlis Seminar Sehari 'Hala Tuju Industri Keselamatan Di Malaysia' anjuran bersama Asian Professioanal Security Association (APSA) dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) dengan 'grant' peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri, telah dirasmikan oleh YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara di Ruby Ballroom, One World Hotel, Bandar Utama City Centre pada pagi ini.
Hadir di Majlis Seminar Sehari itu ialah YBhg. Dato' Haji Mustapa bin Haji Ali, Presiden APSA merangkap Timbalan Presiden PPKKM, YBhg. Lt Jen. (B) Tan Sri Dato' Seri Hj Mohd Yunus bin Tasi, Timbalan Presiden APSA, YBhg. Datuk Haji Shaheer Mirza Habib, Presiden PPKKM, YBhg. Dato' Johari Jamaluddin, Ketua Pegawai Keselamatan Kementerian Dalam Negeri dan YBhg. Dato' Haji Rahmat bin Haji Ismail, penasihat dan mantan Presiden APSA/PPKKM.
Turut hadir ialah YDH SAC Dato' Thaiveegan a/l Arumugam,Timbalan Ketua Polis Selangor, YDH SAC Dato' Abu Samah bin Haji Mat, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, YDH ACP Arjunaidi bin Mohamed, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, DSP Zukhairi bin Haji Mahmood, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Putrajaya, Ahli-ahli Exco APSA, Ahli Jawatankuasa PPKKM, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta peserta-peserta seminar.
Seminar sehari ini adalah pembentangan Kertas Kerja yang akan disampaikan oleh Pegawai PDRM, KDN, UKM, PPKKM, APSA dan GLC's. Sebanyak enam kertas kerja akan dibentangkan pada pagi ini. Pada sesi sebelah petang pula, Sidang Pleno dan Sesi Soal Jawab dimana pembentangan Kertas Kerja dan objektif seminar akan menjurus kepada hala tuju seminar dan forum sehari ini.
Industri Keselamatan di Malaysia pada masa kini telah menjana peluang pekerjaan sejumlah melebihi 200,000 orang, iaitu 150,000 bagi PPKKM dan 50,000 bagi APSA dengan bajet kewangan melebihi daripada RM 6.5 bilion setahun.
Industri Keselamatan di Malaysia juga telah memberikan pulangan semula kepada kerajaan, berjumlah hampir RM 3 billion setahun bagi pembayaran Cukai Perkhidmatan PSMB, KWSP, PERKESO, caruman KWSP, cukai pendapatan, Skim Perlindungan Insuran dan lain-lain cukai.
Dalam ucapan aluan oleh YBhg. Dato' Haji Mustapa bin Haji Ali, Presiden APSA merangkap Timbalan Presiden PPKKM, beliau yang mewakili APSA dan PPKM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas perlantikan YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar sebagai Ketua Polis Negara dan hari ini juga, genap sebulan perlantikan YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar menjawat jawatan Ketua Polis Negara.
"Kami menyokong sepenuhnya prinsip 4P yang telah dilancarkan oleh YDH Tan Sri dan berikrar akan memastikan kejayaan 4P yang telah digariskan" ucapan aluan oleh YBhg. Dato' Haji Mustapa bin Haji Ali.
"Syarikat kawalan hendaklah memberi fokus kepada aspek perundangan dan peraturan serta garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak KDN dan PDRM semasa pemilihan anggota pengawal selain dapat memastikan kualiti perkhidmatan ditahap yang tinggi dan memenuhi keperluan semasa, bagi menjaga reputasi industri keselamatan", antara ucaptama oleh YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara.
"Yang tidak boleh dipandang ringan ialah penggunaan senjatapi oleh pengawal, pastikan mereka yang terlatih dan kompeten serta mempunyai lesen senjatapi sahaja dilantik sebagai pengawal bersenjata bagi mengelakkan kejadian atau insiden yang tidak diingini daripada terus berlaku dan sekaligus akan menjejaskan imej Syarikat Kawalan Keselamatan".
YDH Ketua Polis Negara juga menyarankan agar pihak pengurusan sentiasa mengatur latihan dalam perkhidmatan di mana PDRM sentiasa bersedia memberikan kerjasama seperti mengendalikan latihan menembak dan musketery serta ceramah berhubung perundangan disamping menentukan semua anggota pengawal menghadiri Kursus Asas PDRM, dalam usaha penambahbaikan kualiti perkhidmatan industri ini

dari kiri...YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara, YBhg. Datuk Haji Shaheer Mirza Habib, Presiden PPKKM, YBhg. Dato' Haji Mustapa bin Haji Ali, Presiden APSA dan YBhg. Dato' Haji Rahmat bin Haji Ismail, penasihat dan mantan Presiden APSA/PPKKM

Ucaptama oleh YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara

dari kiri...DSP Zukhairi bin Haji Mahmood, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Putrajaya, YDH ACP Arjunaidi bin Mohamed, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya bersama-sama peserta seminar.

Antara peserta seminar yang hadir di Majlis Seminar Sehari anjuran bersama APSA dan PPKKM

Pembentangan Kertas Kerja oleh ASP Simiun bin Lomudin, Pegawai Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor dengan tajuk ' Isu Perundangan dan Kes Jenayah Melibatkan Industri Keselamatan'

Sesi Bergambar Kenangan...