Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Majlis Sambutan Hari Patriotik Bekas Polis 2009

Diterbitkan: 10 Jun 2014 12.54 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Majlis Sambutan Hari Patriotik Bekas Polis 2009 yang di adakan ini memperlihatkan keprihatinan dan pengiktirafan kerajaan kepada bekas anggota polis yang telah menabur bakti demi kesejahteraan dan keh..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/majlis-sambutan-hari-patriotik-bekas-polis-2009
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 26/09/2026 02:50 MYT

Kuala Lumpur - 12 Ogos 2009. Majlis Sambutan Hari Patriotik Bekas Polis 2009 telah berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Majlis yang bertemakan 'Jasa Pejuang Negara Menjana 1 Malaysia' telah dihadiri oleh YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri. Turut hadir ialah YB Dato' Wira Abu Seman bin Yusof, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Y.Bhg. Dato' Sri Mahmood bin Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara, Y.Bhg. Datuk Ahmad Fuad bin Ab Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, YDH CP Datuk Seri Mohd. Bakri bin Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan YDH CP Dato' Zulhasnan Najib bin Baharuddin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Majlis Sambutan Hari Patriotik Bekas Polis 2009 yang di adakan ini memperlihatkan keprihatinan dan pengiktirafan kerajaan kepada bekas anggota polis yang telah menabur bakti demi kesejahteraan dan keharmonian hidup semua rakyat berbilang kaum di negara ini. Kerajaan Malaysia juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada bekas anggota polis di seluruh negara atas segala jasa dan sumbangan dalam mempertahankan kedaulatan, keamanan dan keselamatan rakyat dan negara.

Sorotan peristiwa, pada tahun 1948 Parti Komunis Malaya (PKM) melancarkan pemberontakan bersenjata untuk mencapai matlamat mendirikan sebuah negara komunis di Tanah Melayu melalui gerakan militan. Pasukan Polis Persekutuan dipertanggungjawabkan menerajui segala gerakan memburu dan menghapuskan pengganas komunis sama ada di bandar, desa dan juga hutan belantara. Pasukan Polis juga diberi tugas untuk menjaga dan melindungi kepentingan ekonomi negara waktu itu.

Pasukan Polis waktu itu mempunyai seramai 161,281 anggota di mana 31,164 anggota adalah polis tetap, 44.117 Polis Khas (S.C) dan 86,000 Polis Tambahan (A.P). Sejarah menjadi saksi, seramai 1,346 anggota polis (511 polis biasa, 593 Polis Khas dan 242 Polis Tambahan) telah gugur kerana mempertahankan kedaulatan negara. Jumlah ini adalah 72 peratus daripada 1,865 anggota keselamatan yang telah terkorban. Sementara itu, 1,601 orang terdiri daripada 701 polis biasa, 746 Polis Khas dan 154 Polis Tambahan telah tercedera.

Pada majlis tersebut , YB Dato' Seri Hishammuddin turut menyampaikan Cek Saguhati Khas kepada 50 orang Bekas Polis yang telah berkhidmat semasa darurat. YB Dato' Seri Hishammuddin juga menerima 'Mock Cheque' oleh penderma-penderma untuk disumbangkan kepada dana Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP). Sumbangan ini adalah untuk memberi bantuan kebajikan kepada Bekas Polis dan keluarga yang memerlukannya.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan nyanyian bertemakan patriotik oleh barisan penyanyi Kementerian Dalam Negeri, Kombo PDRM dan persembahan tarian tradisional oleh Badan Kesenian Muzium PDRM.

Kesejahteraan negara yang dimiliki hari ini adalah hasil pengorbaban para pegawai dan anggota Pasukan Keselamatan, terutamanya Bekas Polis...'Jasa Pejuang Negara Menjana 1 Malaysia'

Majlis Sambutan Hari Patriotik Bekas Polis 2009
Majlis Sambutan Hari Patriotik Bekas Polis 2009 yang dihadiri oleh YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri

 Majlis Sambutan Hari Patriotik Bekas Polis 2009
Penyampaian Cek Saguhati Khas kepada salah seorang Bekas Polis

Majlis Sambutan Hari Patriotik Bekas Polis 2009
YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri menerima replika cek, yang disumbangkan oleh penderma-penderma untuk Tabung Amanah Warisan Polis

ArtikelDiterbitkan 10 Jun 2014 12.54 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM