Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Majlis Perbarisan Tamat Latihan Penyampaian Sijil Kor Suksis Ipta 2010

Diterbitkan: 10 Jun 2014 2.45 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Siswa-siswi merupakan generasi yang memiliki idealisme serta berada dalam gedung ilmu pengetahuan dan jika sesi percambahan fikiran dapat dijadikan sebahagian dari komponen program SUKSIS, ia dapat me..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/majlis-perbarisan-tamat-latihan-penyampaian-sijil-kor-suksis-ipta-2010
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 05:28 MYT

Kuala Lumpur - 19 Jun 2010.  Sejarah telah membuktikan bahawa Polis Diraja Malaysia amat memerlukan penglibatan orang ramai dalam melaksanakan peranan dan fungsinya dengan berkesan. Akta Polis telah memperuntukkan kuasa-kuasa penubuhan Kor Kadet Polis (Bhg.XI) dan Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) (BHG.VIII).

Kedua-dua pasukan tersebut telah berjaya ditubuhkan dan mencapai objektif yang disasarkan, namum masih terdapat kekosongan ruang dari segi penglibatan orang ramai  dalam PDRM diantara golongan pelajar sekolah menengah dengan golongan dewasa. Bagi mengisi kekosongan ruang itu, penubuhan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah tubuhkan pada tahun 2004.

Pada pagi yang bersejarah dan gemilang ini, Polis Diraja Malaysia merafak sembah dan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim di atas keberangkatan   menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Perlantikan Kor SUKSIS IPTA 2010 kali ke-6 di Padang Kawad PALAPES, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Seramai 1,023 anggota dari 18 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) antaranya dari Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka menerima sijil selepas menamatkan latihan asas.

"Pemikiran dinamik dan radikal mahasiswa dan mahasiswi wajar diterokai, cetusan idea baru yang dihasilkan dari pemikiran lateral akan membolehkan pasukan polis senantiasa berada di hadapan. Gandingan disiplin alam akademik dengan profesion polis akan dapat membuahkan idea-idea kreatif dan inovatif yang dinamik lagi produktif," titah Baginda pada Istiadat Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Institusi Pengajian Tinggi Awam 2010 di Universiti Malaya (UM) pagi ini.

Raja Nazrin bertitah latihan asas itu menepati tahap keseragaman dan memberi input asas kepolisan kepada mahasiswa dan mahasiswi akan tugas sebenar PDRM. Idea pemikiran lateral penuntut universiti yang menyertai pasukan sukarelawan polis dapat memberikan input bagi menambah baik usaha dan imej pasukan Polis Diraja Malaysia.

Baginda bertitah dengan menjadi sukarelawan polis, mahasiswa dan mahasiswi dapat membantu PDRM melakukan penyelidikan dan kajian serta memperlengkapkan pasukan polis dengan data dan maklumat berharga.

"Siswa-siswi merupakan generasi yang memiliki idealisme serta berada dalam gedung ilmu pengetahuan dan jika sesi percambahan fikiran dapat dijadikan sebahagian dari komponen program SUKSIS, ia dapat memanfaatkan pasukan polis," titah baginda.

Baginda turut bertitah pasukan polis perlu peka kepada tuntutan yang berkehendakkan pasukan itu menjadi satu pasukan yang cekap lagi berkesan, memiliki integriti, telus, jujur, amanah dan bebas daripada rasuah.

"Polis juga merupakan pasukan yang boleh dipercayai, dihormati dan bukan untuk ditakuti," katanya.

Menurut baginda polis abad ini tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran baru realiti dunia global seperti sistem komunikasi moden dan teknologi canggih serta dunia teknologi maklumat.

"Untuk kekal relevan sebagai pasukan yang dihormati, PDRM hendaklah bersedia dan berani melakukan pengubahsuaian untuk menghadapi perubahan budaya serta pengaruh global dan teknologi yang sedang berlaku dalam konteks sosiopolitik semasa dan setempat.

"Kemajuan teknologi turut mencetuskan budaya baru dan mempengaruhi corak ancaman serta jenayah...ini termasuk pengganas dan penjenayah yang lebih ekstrem sifatnya selain memiliki rangkaian antarabangsa merentasi sempadan negara," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah polis dan media perlu bekerjasama secara proaktif, teratur dan terancang, bukannya bersifat reaktif bagi mengelak isu-isu yang boleh mencetuskan polemik dan kontroversi.

Program komunikasi yang berkesan perlu diamalkan agar dapat merapatkan jurang maklumat dan salah faham di antara polis dan masyarakat umum.

"Usaha memerangi jenayah dipercayai dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan jika masyarakat dapat dilibatkan bersama. Di samping menyampaikan mesej secara telus, jelas dan tepat, maklum balas dan pandangan masyarakat perlu dihargai supaya mereka akan dapat memahami, bersimpati dan terus bersama polis," titah baginda.

Hadir sama di  Majlis Perbarisan Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Perlantikan Kor SUKSIS IPTA 2010 ialah YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, YDH Dato'-Dato' Pengarah PDRM, YDH DCP Dato' Wira Muhammad Sabtu bin Osman, Ketua Polis Kuala Lumpur serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM.

Turut hadir ialah Y.Bhg. ACP/KS Profesor Dato' Ir. Dr. Radin Omar bin Radin Sohadi, Komandan Kor SUKSIS, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Y.Bhg. ACP/KS Profesor Madya Datuk Dr. Azarae Haji Idris, Komandan Kor SUKSIS Universiti Malaya, Y.Bhg. Datuk Dr. Ghauth Jasmon, Naib Canselor Universiti Malaya serta Pegawai-pegawai Kehormat SUKSIS.

Majlis Perbarisan Tamat Latihan Penyampaian Sijil Kor Suksis Ipta 2010
Antara Pegawai-pegawai Kanan PDRM dan tetamu yang hadir di Majlis Perbarisan Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Perlantikan Kor SUKSIS IPTA 2010

Majlis Perbarisan Tamat Latihan Penyampaian Sijil Kor Suksis Ipta 2010
Kawalan Kehormatan memberi Hormat DiRaja...

Majlis Perbarisan Tamat Latihan Penyampaian Sijil Kor Suksis Ipta 2010
Pemeriksaan Perbarisan oleh Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan diiringi oleh YDH Ketua Polis Negara dan Pegawai Pemerintah Baris

Majlis Perbarisan Tamat Latihan Penyampaian Sijil Kor Suksis Ipta 2010
Segak bergaya...Kawalan Kehormatan mendahului perbarisan berjalan lalu

Majlis Perbarisan Tamat Latihan Penyampaian Sijil Kor Suksis Ipta 2010
Perbarisan berjalan dari Kor Sukarelawan Polis Siswi

Majlis Perbarisan Tamat Latihan Penyampaian Sijil Kor Suksis Ipta 2010
Antara Kor SUKSIS yang sama-sama hadir  Majlis Perbarisan Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Perlantikan Kor SUKSIS IPTA 2010

ArtikelDiterbitkan 10 Jun 2014 2.45 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM