Majlis Penyerahan Pelajar Usm Di Maktab Pdrm Kuala Lumpur Cheras
Cheras - 12 Julai 2010. Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyerahkan seramai 26 orang pelajar untuk menjalani latihan Praktikum Forensik di Maktab Polis DiRaja Malaysia, Kuala Lumpur. Majlis dirasmikan oleh Komandan Maktab Polis DiRaja Malaysia Kuala Lumpur, YDH SAC Dato' Shahbudin Abdul Wahab.
Penyerahan
ini disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM,
Profesor Dr Ahmad Hj Zakaria kepada Komandan Maktab Polis DiRaja
Malaysia Kuala Lumpur.
Praktikum
Forensik selama satu semester ini melibatkan kursus sebanyak 8 kredit
bertujuan mengukuhkan lagi kemahiran praktikal dan mutu pengajian Sains
Forensik di USM. Antara yang terkandung di dalam kursus Praktikum
Forensik termasuklah kriminalistik, toksikologi, dadah berbahaya dan DNA
serta menyusuri bukti-bukti lapangan untuk dianalisis. Syarahan,
perbincangan, tugasan dan kerja di lapangan yang dilalui membolehkan
pelajar mendalami kefahaman terhadap ruang lingkup dan latar belakang
pembelajaran.
Para
pelajar juga turut didedahkan dengan simulasi keadaan mahkamah dan
kejadian jenayah seperti mana yang bakal dihadapi apabila berkerja
kelak. Selain itu mereka juga akan berpeluang mengunjungi mahkamah
sebenar dan penjara untuk meluaskan lagi pandangan dan melihat dari
dekat dunia sains forensik sebenar.
Intipati
utama, para pelajar diajar undang-undang berhubung siasatan jenayah,
prosedur mengendalikan siasatan tempat kejadian jenayah dan etika dalam
penyiasatan forensik. Turut dilalui oleh para pelajar adalah kursus
Balistik dan Kimia Letupan (GTF402/4) yang akan dikendalikan oleh para
profesional dari Jabatan Forensik PDRM dan Jabatan Kimia Malaysia.
Universiti
Sains Malaysia merupakan universiti tempatan yang pertama menawarkan
program Sains Forensik sejak tahun 1999. Dalam program ini, pelajar
didedahkan kepada pengetahuan dan teknologi terkini dalam bidang sains
forensik melalui struktur kurikulum.
Staf
akademik di USM, pakar-pakar dari PDRM, Jabatan Kimia Malaysia (JKM)
dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga turut menyumbangkan
tenaga kepakaran serta bantuan logistik melalui kerjasama erat yang
telah sekian lama terjalin. Sehingga kini, sebanyak 7 kumpulan graduan
iaitu seramai 191 orang telah dikeluarkan oleh USM dalam bidang Sains
Forensik.

Komandan Maktab Polis DiRaja Malaysia Kuala Lumpur, YDH SAC Dato' Shahabudin Abdul Wahab menerima cenderahati daripada Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr Ahmad Hj Zakaria.

Gambar kenangan diantara pelajar-pelajar bersama-sama tenaga pengajar, YDH Komandan Maktab dan juga Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan