Majlis Penyerahan Dan Pelancaran Kereta Pegawai Penyiasat
Batu Caves - 19 Jun 2008 . Majlis Penyerahan Dan Pelancaran Kereta Pegawai Penyiasat Polis Diraja Malaysia telah disempurnakan oleh YDH CP Datuk Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM di Pusat Servis Wilayah - Batu Caves, Spanco Sdn. Bhd. , Selangor.
Hadir sama di majlis tersebut ialah YDH DCP Dato' Khalid bin Abu bakar, Ketua Polis Selangor, YDH DCP Dato' Mortadza bin Nazarene, Timbalan Pengarah 1 JSJ dan YDH SAC 1 Dato' Mohd Shukri bin Dahlan, Timbalan Pengarah II JSJN.
Turut hadir, YDH SAC II Aidi bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Logistik (Pengangkutan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Y.Bhg. Mejar Jeneral Dato' Osman bin Mohd Zain (Bersara), Pengerusi Spanco Sdn. Bhd, Pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri, Ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan PDRM.
Pusat Servis Wilayah - Batu Caves, Spanco Sdn. Bhd. , Selangor dibuka secara rasmi pada 15 Julai 2005 adalah merupakan sebuah pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung. Dengan keluasan lima ekar yang turut menempatkan storan kereta, pusat servis utama ini menyediakan persekitaran yang selesa untuk segala urusan yang membabitkan pembekalan dan penyerahan kereta. Selain Pusat Servis Wilayah - Batu Caves, Spanco turut menyediakan sebuah lagi pusat servis wilayah di Bangi di samping rangkaian khidmat sokongan oleh lebih 200 buah Pusat Servis diiktiraf di seluruh negara.
Pada tahun 1999, jumlah kereta PDRM yang diurus dan dibekalkan oleh Spanco adalah sekitar 1,000 buah sahaja dan meningkat kepada lebih 1,300 unit pada tahun 2007.
Kerajaan Malaysia telah meluluskan peruntukan sebanyak 2,000 buah kereta melalui pembentangan bajet 2008 pada bulan September, bagi penugasan Pegawai Penyiasat PDRM. Penerimaan kereta jenis Proton Waja 1.6 CPS AT diserahkan oleh pihak Spanco kepada PDRM, sedikit sebanyak melengkapkan dan membantu PDRM khususnya para Pegawai Penyiasat untuk terus berkhidmat dengan lebih cepat, cekap dan berkesan kepada masyarakat di negara ini.
Dengan termenterainya penyerahan 2,000 buah kereta nasional ini, maka jumlah kenderaan PDRM yang diselia oleh Spanco bertambah kepada 3,300 unit kesemuanya, sekali gus menjadikan PDRM sebagai pelanggan terbesar Spanco.
Kereta Proton Waja itu akan diserahkan kepada JSJ, JSJN, JSJK dan juga Cawangan Trafik. Kenderaan tersebut juga akan dipasangkan dengan pelekat Pegawai Penyiasat jabatan masing-masing, bagi mengelakkan ianya disalahgunakan untuk tujuan lain. Kenderaan tersebut tidak boleh digunakan untuk tugas-tugas peribadi dan hendaklah sentiasa merujuk kepada Arahan Jabatan Logistik No. 60 iatu dari segi pentadbiran dan tatacara penggunaannya.
Dalam ucapan oleh YDH CP Datuk Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, beliau berharap dengan penyediaan kemudahan pengangkutan ini akan dapat meningkatkan lagi komitmen dan semangat untuk bekerja, berupaya menyelesaikan kes yang disiasat dengan cepat dan adil oleh Pegawai Penyiasat.

Serah...Penyerahan 'Replika Kunci Kereta' oleh Y.Bhg. Mejar Jeneral Dato' Osman bin Mohd Zain (Bersara), Pengerusi Spanco Sdn. Bhd kepada YDH CP Datuk Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM

YDH CP Datuk Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM menyerahkan replika kunci kepada YDH DCP Dato' Mortadza bin Nazarene, Timbalan Pengarah 1 JSJ

YDH CP Datuk Mohd Bakri bin Mohd Zinin menyerahkan replika kunci kepada YDH SAC 1 Dato' Mohd Shukri bin Dahlan, Timbalan Pengarah II JSJN.

'Flagging Off' 12 buah kereta Pegawai Penyiasat

Sidang Media