Majlis Penutupan Rasmi Program Diploma Sains Siasatan Sesi 2008 2009 Dss 8
Cheras - 14 Mei 2010. Majlis Penutupan Rasmi Program Diploma Sains Siasatan Sesi 2008/2009 (DSS 8) telah disempurnakan oleh YDH CP Dato' Haji Abdul Razak bin Haji Bokhari, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia di Dewan Sultan Ahmad Shah, Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras pada pagi ini.
Hadir dimajlis penutupan tersebut ialah Y.Bhg. Profesor Dr. Hamzah bin Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya, YDH DCP Dato' Mortadza bin Nazarene, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), YDH SAC I Dato' Shahbudin bin Abdul Wahab, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta dif-dif jemputan.
Program Diploma Sains Siasatan (DSS) telah dilancarkan pada 2 Julai 2001. Ia adalah satu program usahasama di antara pihak Universiti Malaya, Kuala Lumpur yang dikelolakan oleh Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) dengan pihak Polis Diraja Malaysia melalui Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur.
Idea untuk melaksanakan program ini telah dicetuskan oleh YDH Tan Sri Mohd Bakri bin Hj. Omar yang ketika itu sebagai Pengarah Pengurusan PDRM.
Tujuan program ini diwujudkan ialah untuk memberi penekanan kepada bidang sains penyiasatan bagi membolehkan pegawai polis bertindak dengan cekap, cepat dan profesional di dalam urusan kepolisan mereka.
Silibus program ini telah dirangka dengan kerjasama pihak UM dan PDRM. Pelajarannya meliputi skop-skop teoretikal, konsep dan prinsip saintifik yang memberi tumpuan dan penekanan kepada aspek-aspek forensik. Topik-topik yang dipilih meliputi Undang-undang dan Prosedur Jenayah, Teknik Siasatan, Metodologi Penyelidikan, Sains Forensik dan Forensik Perubatan.
Sejak pelancaran program ini, ia telah berjaya melahirkan seramai 228 graduan yang terdiri daripada 208 Pegawai Kanan PDRM, 5 Pegawai ATM, 10 Pegawai Kanan PDRB (Brunei), 4 Pegawai SPRM dan 1 Pegawai POLRI (Indonesia).
Bagi Sesi 2008/2009, bermula 21 Disember 2008, seramai 39 pelajar Diploma Sains Siasatan yang terdiri daripada 35 Pegawai PDRM dan 4 Pegawai Polis Diraja Brunei telah berjaya menamatkan pengajian selama 12 bulan dengan keputusan CGPA 3.0 ke atas.
" Berilmu tanpa amal adalah seperti pohon yang tidak berbuah, maka amalkanlah ilmu itu untuk manfaat kepada masyarakat dan negara", antara ucapan YDH CP Dato' Haji Abdul Razak bin Haji Bokhari, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia kepada hadirin yang hadir.

Penyampaian sijil kepada graduan...C/Insp Gurdial Singh a/l Jamar Singh, KPB Rawang, Gombak.

C/Insp Rujiman bin Ogus@Agus dari (D4) Risikan Jenayah JSJ, IPD Rembau menerima sijil daripada Pengarah Pengurusan

AG. DSP Chipli bin Haji Mohammad dari Polis Diraja Brunei...

Peserta Terbaik Kedua...ASP Samsolnizam bin Haji Kassir, bertugas sebagai Pegawai PTKPN, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, lulus dengan cemerlang dengan mendapat CGPA 3.56.

Peserta Terbaik, menerima Piala Pusingan Ketua Polis Negara...DSP Gregory Jarret a/l V. John James, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields, Kuala Lumpur. Atas usaha gigih, beliau telah mendapat keputusan yang cemerlang dengan CGPA 3.59.

Lima graduan terbaik...dari kanan, ASP Huzaimi bin Othman, ASP Samsolnizam bin Hj. Kassir, DSP Gregory Jarret a/l V. John James, ASP Ahmad Faisal bin Ahmad Jalaldin dan ASP Baeyah binti Abdul Wahab.

Graduan Diploma Sains Siasatan Sesi 2008/2009 (DSS 8) bergambar kenangan bersama YDH Pengarah Pengurusan PDRM