Majlis Penutup Konvensyen Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja Kmk Peringkat Pdrm Kelapan Tahun 2008
Cheras - 14 Ogos 2008. Majlis Perasmian Konvensyen Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) Peringkat PDRM Kelapan Tahun 2008 telah disempurnakan oleh YDH CP Dato' Abdul Razak bin Haji Bokhari, Pengarah Pengurusan PDRM pada 13 Ogos 2008 sementara Majlis Penutup Konvensyen Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) Peringkat PDRM Kelapan Tahun 2008 telah disempurnakan oleh YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos 2008 di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM Kuala Lumpur.
Konvensyen Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) Peringkat PDRM Kelapan Tahun 2008 telah bermula dari 12 Ogos 2008 hingga 14 Ogos 2008 dimana sebanyak 10 pembentangan KMK telah diadakan dan sebanyak 78 kumpulan kerja telah mengambil bahagian sejak konvensyen KMK kali pertama diadakan pada tahun 2001.
Hadir dimajlis penutupan itu ialah YDH CP Dato' Zul Hasnan Najib bin Baharudin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, YDH SAC I Dato' Benjamin bin Haji Hasbie, Timbalan Urus Setia KPN (Penyelidik/Perancang) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen KMK PDRM 2008, YDH Timbalan-timbalan Pengarah, YDH Ketua-ketua Polis Negeri serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM.
Peningkatan kualiti kerja adalah satu proses yang berterusan dan bersesuaian dengan perubahan masa, persekitaran dan juga perkembangan teknologi semasa dalam memenuhi kehendak semasa dan dalam era yang penuh dengan cabaran.
Tindakan susulan terhadap hasil penemuan dan cadangan ketika konvensyen KMK perlu dilaksanakan supaya keupayaan proses (Proses Capability) memenuhi standard kualiti yang telah ditetapkan. Peraturan, prosedur kerja, proses aliran kerja dan 'Check List' perlu diperkemaskan dan dibuat penambahbaikan untuk mengelakkan kerenah birokrasi dan dalam masa yang sama akan meningkatkan koordinasi antara unit-unit atau bahagian -bahagian dalam jabatan PDRM.
"Justeru itu, setiap pemimpin dan warga PDRM hendaklah komited dalam melibatkan diri secara aktif dan berterusan dalam KMK demi memperkukuhkan serta memantapkan lagi kualiti perkhidmatan bagi menjayakan inisiatif ke arah penerapan budaya kualiti sebagai amalan dalam PDRM" kata YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar semasa ucapan penutupan Konvensyen Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) Peringkat PDRM Kelapan Tahun 2008.
PDRM telah memperolehi Pensijilan MS ISO 9001-2000 yang berstatus akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia, UKAS (United Kingdoom) dan COFRAC (France) pada Hari Polis yang lalu bagi pelaksanaan sistem pegurusan kualiti bagi proses-proses kerja seperti berikut:-
1) Pengurusan Trafik di Cawangan Trafik IPD Klang, IPD Petaling Jaya, IPK Selangor dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
2) Pengurusan dan Penyampaian Kursus di Maktab PDRM Kuala Lumpur
3) Pengurusan Siasatan jenayah Kes Seksual, Penganiyaan Kanak-Kanak di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual/Penderaan Kanak-Kanak (D 11), IPK Kuala Lumpur dan keganasan rumah tangga di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras
4) Pengurusan Perlucuthakan Harta di bawah Akta Dadah (Perlucuthakan Harta) 1988, Akta 340 di Bahagian Perlucuthakan Harta , Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik , IPK Johor dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Sistem Pengurusan Kualiti yang telah dipersijilkan tersebut akan diperkembangkan kepada semua peringkat jabatan dan kontinjen bagi menjamin peningkatan kualiti dan kecemerlangan kerja dalam masa terdekat.
"Justeru sistem yang sedia ada hendaklah dikaji semula dan penambahbaikkan perlu dilaksanakan supaya ia akan menjadi satu sistem pengurusan kualiti yang lebih menyeluruh yang dapat menyumbang ke arah pengurusan kualiti menyeluruh (Total Quality Management) di Polis Diraja Malaysia"
" Tingkatkan penyeliaan dan berani membuat teguran kepada anggota bawahan supaya tiada masalah disiplin didalam Polis Diraja Malaysia kerana inilah yang akan meningkatkan mutu kerja kita dan memertabatkan serta memperkasakan PDRM" ucapan akhir YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara.
Penyertaan Kategori Pengurusan
1. CYBERCOPS Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
Tajuk Projek : Mempercepatkan pengeluaran laporan forensik komputer berkaitan kes-kes jenayah komersial
2. MY COPS Cawangan Trafik Bukit Aman
Tajuk Projek : Penyelesaian POL. 170A ke atas kenderaan bas kurang memuaskan
3. PROGRESIF Bahagian Pentadbiran Bukit Aman
Tajuk Projek : Tindakan surat menyurat melalui fail kerja (working file) tidak terkawal
4. INTEGRITI Bahagian Teknologi Maklumat Bukit Aman
Tajuk Projek : Kesukaran mengawal selia kehadiran dan pergerakan staf teknologi maklumat dan pelawat
5. SARE 4 Jabatan Pengurusan IPK Kelantan
Tajuk Projek : Mengendalikan masalah kursus di Kontinjen Kelantan
6. MINDA BERNAS Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor
Tajuk Projek : Mengurangkan kadar kes pecah rumah
7. PERKASA Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka
Tajuk Projek : Memperkasakan Balai
8. Camar Mutiara Ibu Pejabat Polis daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang
Tajuk Projek : Sistem Pengurusan Fail
Penyertaan Kategori Teknikal
1. THE MARINERS Pasukan Polis Marin, Wilayah Utara Pulau Pinang
Tajuk Projek : Kerosakan 'Rubber Vulcan Coupling' Botronda kelas PX
2. TARGET Briged Utara PGA Ulu Kinta Perak
Tajuk Projek : Penyelenggaraan tapak menembak lapang sasar utama Briged Utara yang tidak ekonomik dan efektif
Pemenang-Pemenang
Kategori Pengurusan
Johan Kumpulan MY COPS
Naib Johan Kumpulan CAMAR MUTIARA
Ketiga Kumpulan INTEGRITI
Kategori Teknikal
Johan Kumpulan THE MARINERS

Ulasan oleh Ketua Panel Penilai, Encik Bazarul Mazni bin Baharuddin

Ucapan Penutup Konvensyen Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) Peringkat PDRM Kelapan Tahun 2008 oleh YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara

Cenderahati... YDH SAC I Dato' Benjamin bin Haji Hasbie, Timbalan Urus Setia KPN (Penyelidik/Perancang) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen KMK PDRM 2008 menyampaikan cenderahati kepada YDH Timbalan Ketua Polis Negara

MY COPS dari Cawangan Trafik Bukit Aman menjadi Juara Kategori Pengurusan

Juara Kategori Teknikal...THE MARINERS dari Pasukan Polis Marin Wilayah Utara, Pulau Pinang