Majlis Penganugerahan Pangkat Secara Medan
PUTRAJAYA - 22 Jun 2009 - Majlis Penganugerahan Pangkat Secara Medan kepada C/Insp. Ang Weai Loong telah berlangsung di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada 22 Jun 2009. Majlis itu telah disempurnakan oleh YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara.
Hadir sama pada majlis tersebut YDH CP Dato' Abdul Razak bin Hj. Bokhari, Pengarah Pengurusan , YDH CP Datuk Mohd Bakri bin Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan YDH DCP Dato' Wira Muhammad Sabtu bin Osman, Ketua Polis Kuala Lumpur.
Turut hadir di majlis itu YDH Dato'-Dato' Pengarah Jabatan PDRM, Ketua-ketua Polis Daerah Kontinjen Kuala Lumpur, Pegawai-pegawai Kanan, anggota dan kakitangan awam Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
C/Insp. Ang Weai Leong , berasal dari Butterworth, Pulau Pinang memulakan kerjaya dalam PDRM pada 1 Oktober 2000. Beliau telah membuktikan kepada masyarakat dan negara, bahawa beliau sanggup melakukan apa saja termasuklah menggadai nyawanya, berkorban jiwanya, demi mendaulatkan undang-undang serta menunaikan tugas dan tanggung -jawab yang diamanahkan.
Pada 4 November 2008, dalam satu operasi membanteras kegiatan sindiket menyamun kenderaan mewah dengan senjata api dan parang, C/Insp. Ang Weai Loong sebagai ketua pasukan bersama-sama enam anggota D9 Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Kuala Lumpur, telah ditugaskan untuk mengesan dan menangkap kumpulan yang dikenali sebagai Geng Ah Tok . Keahlian kumpulan itu ialah tiga lelaki dan seorang perempuan.
Kumpulan tersebut bergerak aktif di sekitar Lembah Kelang dan terlibat dalam 33 kes samun kenderaan mewah yang melibatkan kerugian jutaan ringgit. Diantara kereta mewah yang menjadi sasaran kumpulan ini termasuklah BMW, CRV, Toyota Camry, Mercedes Compressor 200 , Honda Civic, Mini cooper dan kereta-kereta mewah yang lain.
Risikan yang dijalankan berterusan selama empat bulan akhirnya telah berjaya mengesan tempat persembunyian geng tersebut, sebuah kondominium di Sungai Long Kajang. Serbuan telah dilakukan oleh pasukannya dan penjenayah terus berbalas-balas tembakan dengan pasukan polis. Dalam kejadian itu, dua das tembakan penjenayah telah terkena betis C/Insp. Ang menyebabkan beliau terjatuh di lantai.
Akhirnya penjenayah tumpas apabila kedua-dua suspek yang berbahaya telah berjaya ditembak mati oleh polis. Sebanyak tiga pucuk pistol jenis Sturn Ruger Auto, Smith and Wesson serta lapan butir peluru hidup dan sepucuk pistol jenis Pietro Beretta Gardone BT buatan Itali telah dirampas.
Di
atas keberanian dan semangat juang luar biasa yang telah ditunjukkan,
pucuk pimpinan PDRM telah bersetuju dan meluluskan penganugerahan
kenaikkan pangkat secara medan kepada C/Insp. Ang Weai Loong. Terdahulu
beliau juga telah menerima Pingat Keberanian Pasukan Polis sempena
Majlis Pengurnian Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat
Keberanian Polis 2009 di Istana Melawati, Putrajaya pada 19 Mei 2009.

YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara menyematkan 'Collar Badge' kepada C/Insp Ang Weai Loong