Majlis Penerimaan Peralatan Sabre 4000 Portable Trace Detection Instrument
Bukit Aman - 18 Jun 2009. Majlis Penerimaan Peralatan SABRE 4000 Portable Trace Detection Instrument daripada Kerajaan Australia telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Pengarah Jabatan KDN/KA Bukit Aman.
YDH SAC II Dato' Isa bin Munir, Komander Pasukan Gerakan Marin telah hadir untuk menerima peralatan SABRE 4000 daripada Mr. Denis Graham, Supervisor Internasional Capacity Building, Australian Customs and Border Protection Services.
Hadir sama ialah YDH SAC II Dato' Chuah Ghee Lye, Komander Unit Udara PDRM, Mr. Peter Chwal, Senior Police Liaison Officer dan Mr. Damien Knight, Police Liaison Officer dari Australian Federal Police serta Pegawa-pegawai Kanan Bukit Aman dari Jabatan KDN/KA.
SABRE 4000 Portable Trace Detection Instrument ialah sejenis alat saintifik yang digunakan oleh pegawai-pegawai penguatkuasaan dalam membantu serta mengesan bahan-bahan narkotik, bahan kimia toksik industri dan bahan-bahan perang kimia seperti letupan dan bahan berbahaya lain yang boleh menjejaskan keselamatan sebuah negara. SABRE 4000 boleh mengesan barang-barang yang merbahaya itu, yang dijumpai terbiar dalam tempat-tempat awam ataupun semasa menjalankan rutin pemeriksaan ke atas kereta-kereta atau manusia pada pintu masuk sempadan, laluan perairan antarabangsa atau semasa amaran keselamatan tinggi diperlukan untuk memastikan keadaan keselamatan negara berada pada tahap maksimum.
Pada Jun 2007, Kerajaan Australia telah menyerahkan 2 unit SABRE 4000 kepada Pasukan Gerakan Marin. SABRE 4000 telah digunakan di Sandakan dan Tawau untuk mengesan penyeludupan dan bahan narkotik serta bahan-bahan letupan yang dibawa masuk melalui perairan. Hasilnya beberapa kejayaan dan rampasan telah berjaya dibuat oleh Pasukan Gerakan Marin. Antara kejayaan yang terbesar ialah berjaya merampas 4 kg dadah jenis amphetamin yang dianggarkan bernilai RM 1 juta di Sandakan pada 2 Ogos 2007.
Sehubungan dengan penyerahan peralatan tersebut, 6 pegawai Pasukan Gerakan Marin telah dihantar untuk menjalani latihan, yang dilatih oleh Australian Customs and Border Protection Services . Intensif dari latihan ini, pada 26 Mei dan 5 Jun 2009, dua orang pegawai lagi telah dihantar untuk menjalani kursus Advanced Intructors Course on SABRE 4000 Detection di Australia, yang di taja sepenuhnya oleh Kerajaan Australia.
Bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keberkesanan dalam penguatkuasaan menjaga perairan dan kawasan pantai di kawasan sempadan antara Polis Diraja Malaysia dan Australian Customs and Border Protection Services, pada hari ini Kerajaan Australia telah menyumbangkan satu lagi unit SABRE 4000 untuk digunakan di kawasan Kota Kinabalu, Sabah.
Penyampaian peralatan canggih ini serta bantuan teknikal yang diberi bukan saja membantu untuk meningkatkan keupayaan, kecekapan dan pengetahuan tetapi juga bertindak sebagai pemangkin dalam mempertingkatkan kerjasama yang telah sedia terjalin anatara Kerajaan Malaysia dan Australia, khususnya Polis Diraja Malaysia dalam konteks pemindahan teknologi, pengetahuan dan perkongsian maklumat.

YDH SAC II Dato' Isa Munir Komander Pasukan Gerakan Marin dan YDH SAC II Dato' Chuah Ghee Lye, Komander Unit Udara PDRM sedang mendengar taklimat ...

Mr. Denis Graham, Supervisor Internasional Capacity Building, Australian Customs and Border Protection Services bersama 2 anggota dari Australian Federal Police, memberi taklimat ringkas kepada Pegawai-pegawai Kanan PDRM yang turut hadir.
YDH SAC II Dato' Isa Munir, Komander Pasukan Gerakan Marin melihat peralatan canggih SABRE 4000