Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kehormat Kor Suksis Umt
KUALA TERENGGANU-12 Mac 2011.
Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kehormat Kor SUKSIS Universiti
Malaysia Terengganu (UMT) telah disempurnakan oleh YDH Tan Sri Hj.
Ismail Bin Hj. Omar, Ketua Polis Negara di sini pagi tadi.
Upacara
ini adalah Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Tongkat Kuasa kepada
Assisten Komisioner Polis Kehormat Prof. Dr. Yahaya Bin Ibrahim,
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Komandan
Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS). Turut menyertai
upacara pemakaian pangkat pada majlis ini ialah Superintenden Kehormat
Hj. Awang Koding Bin Che Tom, Ketua Pusat Ko-Kurikulum merangkap
Timbalan Komandan Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS)
dan Deputi Superintenden Kehormat Hj. Muhammad Rafee Bin Jusuh, Pegawai
Sukan Universiti Malaysia Terengganu.
Berucap
dalam majlis itu, Ketua Polis Negara mengucapkan syabas kepada warga
UMT atas penganjuran Majlis Pemakaian Pangkat Kor SUKSIS UMT yang
julung-julung kalinya diadakan di sini. Beliau berharap penubuhan Kor
Suksis di universiti ini dijadikan titik permulaan dalam usaha ke arah
meneruskan agenda memperkukuh sahsiah, penampilan dan jati diri
siswa-siswi sebagai persiapan laluan untuk mereka menjadi pemimpin
negara yang berwibawa di masa hadapan.
Penubuhan
Kor SUKSIS di Institusi Pengajian Tinggi Awam di seluruh negara
merupakan manifestasi hasrat kerajaan untuk melahirkan graduan dan
generasi yang terpupuk dengan jati diri dan tersemai dengan semangat
cintakan bangsa dan negara, demi membentuk sebuah masyarakat madani yang
berteraskan nilai-nilai murni.
Universiti
Malaysia Terengganu yang mana sebelum ini dikenali sebagai Kolej
Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM), telah mengorak langkah
melalui pengambilan kumpulan pertama dari kalangan siswa-siswi seramai
53 orang pada 18 Julai 2006. Kini keahlian Kor SUKSIS UMT ini telah
bertambah kepada 179 anggota, yang terdiri daripada 84 siswa dan 95
siswi.
Melalui
pendedahan dan pengalaman yang diperolehi sebagai anggota Kor Suksis,
diharap boleh menarik minat siswa-siswi UMT untuk terus menceburi
kerjaya bersama PDRM selepas tamat pengajian kelak.

YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar memberi tabik hormat kepada Kawalan Kehormatan.

YDH Ketua Polis Negara memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan.

Ketua Polis Negara menyampaikan ucapan.

YDH
Ketua Polis Negara menyempurnakan Pemakaian Pangkat Pegawai Kehormat
Kor SUKSIS sambil disaksikan oleh YDH SAC Dato' Jamshah bin Mustapa,
Ketua Polis Terengganu.

YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar semasa Sidang Media.

YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara menandatangani Buku Pelawat.

Sesi bergambar kenangan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Wartawan : L/Kpl Khaidzir bin Mahmad
Gambar : Sumber dari HEA IPK Terengganu
Penyunting : Insp Nurleen Hannah