Bermula Sebagai Pembantu Pejabat Bersara Sebagai Pengarah Jabatan Logistik
Bukit Aman, 11 Mac 2011- "Dengan rasa rendah diri dan tulus ikhlas memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT, setelah lebih kurang 44 tahun berkhidmat dalam PDRM, iaitu lebih kurang 10 tahun sebagai Pembantu Pejabat bermula pada 6 Oktober 1967, dan 31 tahun sebagai Pegawai Kanan Polis, akhirnya telah tiba waktunya saya mengakhiri tugas dan tanggungjawab yang sangat saya cintai ini, dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Jabatan Logistik Polis Diraja Malaysia", ujar YDH CP Datuk Mashuri Bin Zainal pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Logistik di MES Pegawai Kanan, Bukit Aman pagi ini.
Secara rasminya YDH DCP Dato' Zubaidah Binti Md. Ismail yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah 1, Jabatan Logistik mengambil alih tugas sebagai Pemangku Pengarah Jabatan Logistik yang sebelum ini disandang oleh YDH CP Datuk Mashuri Bin Zainal yang akan menjalani persaraan wajib pada 14 Mac 2011 nanti.
Majlis serah terima tugas tersebut disaksikan oleh YDH Datuk Hussin Bin Hj. Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara yang turut dihadiri oleh YDH Pengarah- Pengarah Jabatan PDRM, Pegawai-Pegawai Kanan, anggota dan kakitangan awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
"Segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti Yang Dihormati Datuk taburkan kepada pasukan dan Negara selama ini, adalah amat besar dan tidak ternilai, serta sukar diungkapkan dengan kata-kata, Your position speaks volume of your stature", begitulah kata-kata yang disampaikan oleh YDH Timbalan Ketua Polis Negara kepada YDH CP Datuk Mashuri Bin Zainal.
YDH CP Datuk Mashuri Bin Zainal bagi pihak isteri Datin Aishah Binti Saad yang tidak dapat hadir pada majlis ini merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia Pengerusi PERKEP, Naib Pengerusi PERKEP, Datin-Datin serta seluruh Ahli Jawatankuasa PERKEP yang sebelum ini telah membantu dan bekerjasama sehingga PERKEP Jabatan Logistik berjaya menganjurkan pelbagai program yang bermanfaat untuk semua ahli.
"Walaupun saya akan meninggalkan pasukan
yang amat saya cintai dan sayangi ini, namun saya berharap jalinan
perkenalan di antara kita yang telah bermula dalam Polis Diraja Malaysia
ini, tidak akan terputus begitu sahaja tetapi akan terus berkekalan
selepas ini. Tali silaturrahim ini harus kita perkukuhkan dan muliakan
buat selama-lamanya", akhiri ucapan YDH CP Datuk Mashuri Bin Zainal.

YDH CP Datuk Mashuri Bin Zainal semasa menyampaikan ucapan terakhir pada Majlis Serah Terima Tugas....

Menandatangani
dokuman serah terima tugas Pemangku Pengarah Jabatan Logistik di antara
YDH CP Datuk Mashuri Bin Zainal dan YDH DCP Dato' Zubaidah Bt. Md
Ismail ....

Penyerahan Dokumen Serah Terima Tugas disaksikan oleh YDH Datuk Hussin Bin Hj Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara...

Bergambar kenangan bersama YDH Timbalan Ketua Polis Negara dan YDH Pengarah-Pengarah PDRM....

Bergambar kenangan bersama YDH Timbalan Ketua Polis Negara dan pucuk pimpinan PDRM.....
Wartawan : Konst. Norliza Bt. Basrah
Jurufoto : Konst. Mohd. Helmi Bin Saadin
Penyunting : Insp. Md. Aruwan Bin Md. Amilah