PULAPOL Kuala Lumpur - 3 Februari 2010. Majlis Pelancaran Lencana Unit K9 yang baru telah disempurnakan oleh YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di PULAPOL Kuala Lumpur pagi ini.
Hadir sama di majlis tersebut ialah YDH DCP Dato' Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani, Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan dan Perundangan), YDH DCP Dato' Hadi Ho bin Abdullah, Timbalan Pengarah JSJ (Risikan dan Operasi), YDH DCP Dato' Mortadza bin Nazarene, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) dan YDH SAC I Datuk Mazlan bin Mansor, Timbalan Pengarah JSJ (Perancangan dan Strategi)
Turut hadir juga ialah YDH SAC I Dato' Rusli bin Ahmad, Ketua Urus Setia KPN (Penyelidik/Pembangunan), YDH SAC II Dato' Amar Singh a/l Ishar Singh, Komandan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL) serta tetamu jemputan dan Pegawai-pegawai Kanan PDRM.
Lencana Unit K9 yang baru ini telah direka bentuk oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama Urusetia KPN pada tahun lepas. Satelah melalui beberapa pindaan, lencana ini telah diluluskan oleh YDH Ketua Polis Negara pada bulan Oktober 2009. Lencana ini akan mempamirkan identiti khusus Unit K9 yang telah wujud dalam Jabatan Siasatan Jenayah PDRM sejak tahun 1967. Lencana baru Unit K9 mempunyai latar belakang biru dengan rekabentuk grafik kepala anjing dan perkataan UNIT K9 tertera ditengahnya dengan didokong oleh perkataan Polis Diraja Malaysia di bahagian bawah.
Unit K9 Polis Diraja Malaysia adalah merupakan satu unit yang amat penting di dalam usaha untuk mencegah, mengesan dan menangkap pesalah-pesalah. Dengan kekuatan 145 ekor anjing pengesan seluruh negara, Unit K9 telah berjaya menyumbangkan ke arah kecemerlangan tugas di dalam memastikan masyarakat bebas dari jenayah dan dadah. Anjing-anjing ini menjalankan pelbagai tugas, khususnya mengesan penjenayah dan mengesan dadah, senjata api dan juga bahan letupan. Anjing-anjing ini ditempatkan di 20 Unit K9 diseluruh negara, termasuk 7 unit di Sabah dan Sarawak.
Jabatan Siasatan Jenayah kini sedang merancang untuk mewujudkan beberapa Unit K9 di beberapa negeri. Unit K9 Langkawi dan Unit K9 Bintulu telah siap dibina pada tahun lalu dan akan memulakan operasi pada tahun ini. Selain itu, perancangan juga sedang dibuat untuk membuka unit-unit baru di Sabah dan Perak.
Bagi memantapkan Unit K9, Jabatan Siasatan Jenayah juga telah membekalkan 8 kenderaan baru jenis Toyota Hilux untuk membawa anjing bagi tugas pengesanan dan juga menjalankan rondaan mencegah jenayah di kawasan-kawasan 'Hotspots'.
PDRM juga telah membeli 30 ekor anjing baru dari negara Jerman dan Chezkoslovia pada bulan Disember 2009. 18 ekor adalah dari jenis German Shepherd manakala 12 lagi adalah jenis Labrador. Anjing-anjing ini bersama pemegang mereka kini sedang menjalani Kursus Asas K9 yang telah bermula pada bulan Januari 2010 dan akan tamat pada bulan April 2010, dikendalikan oleh Jurulatih-jurulatih K9 PDRM di Pusat Latihan K9, PULAPOL KL.
Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah juga sedang melatih beberapa ekor anjing jenis Cavadar, untuk melaksanakan penugasan khusus atau Specific Searches. Anjing-anjing Cavadar berupaya untuk mengesan mayat manusia yang telah ditanam atau tenggelam dalam sungai, tasik, laut dan juga mengesan Human Remains.
Di majlis ini juga, YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin menyampaikan Surat Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 3 pemegang bersama anjing mereka dan Surat Penghargaan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah kepada 8 pemegang bersama anjing mereka yang telah mencapai kejayaan yang cemerlang pada tahun 2009 dan 2010 manakala seorang lagi menerima piala dan Surat Penghargaan kerana terpilih sebagai pemegang K9 Terbaik dalam satu pertandingan yang diadili oleh seorang hakim dari negara Hungary pada bulan Disember 2009.

C/Insp Saravanan a/l Munusamy bersama sebahagian dari 30 pemegang anjing dari Unit K9

Antara tetamu jemputan khas yang hadir...

YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, diiringi ACP Dev Kumar, Ketua Penolong Pengarah JSJ (Bantuan Teknik D 6), menekan butang perasmian.

Upacara Simbolik Pemakaian Lencana baru K9 kepada Ketua Unit K9, DSP Vignesvaran a/l Velautham

Surat Penghargaan Ketua Polis Negara..Kpl 94866 Palanisamy a/l Periyannan..beliau bersama K9 bernama 'BADY' telah berjaya mengesan sehingga tertangkapnya seorang pengedar dadah yang menyembunyikan diri di dalam semak di Bedong, Kuala Muda,Kedah. Sejumlah dadah jenis heroin, ganja dan syabu telah dirampas dari suspek.

Demontrasi Menurut Perintah...Kpl 126854 Shanmugam a/l Subramaniam dari Seksyen K9 Kuantan, Pahang bersama anjing K9 'Hyker' menunjukkan demo di mana 'Hyker' mengikut arahannya.Teknik memberi perintah menggunakan isyarat sahaja, tanpa sebarang arahan vokal. Kpl Shanmugam telah memenangi pertandingan Police Working Dog's-Trail Competiton yang diadili oleh pengadil jemputan dari Hungary.

K9 Pama membuat demontrasi teknik mengejar dan menangkap penjenayah yang bertindak ganas.

YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin melihat kenderaan baru Unit K9, Toyota Hilux Viso

Cenderahati kepada YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin

YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin bergambar kenangan bersama pemegang-pemegang anjing Unit K9.