Majlis Pecah Tanah Tapak Pusat Latihan Ketenteraman Awam Pulka
Bentong
- 16 April 2009. Polis Diraja Malaysia dengan penuh hormat dan
takzimnya, merafak sembah menjunjung kasih setinggi-tingginya di atas
limpah perkenan kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji
Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar
Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, mencemar duli berangkat dan seterusnya
berkenan untuk menyempurnakan Upacara Majlis Pecah Tanah Tapak Pusat
Latihan Ketenteraman Awam (PULKA) di Pelangai, Bentong Pahang.
Keberangkatan Duli
Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni
Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah menambahkan meriah dan
berserinya majlis ini. Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Kerabat-Kerabat
Bergelar, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri,
YB Dato' Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan serta Menteri Besar Pahang.
Hadir
sama ialah Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Ketua
Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YDH IG Tan Sri Musa bin Dato' Haji
Hassan, Ketua Polis Negara, YDH DIG Dato' Ismail bin Haji Omar,
Timbalan Ketua Polis Negara, YDH DCP Dato' Robiah binti Abdul Ghani,
Ketua Polis Pahang, Y.Bhg Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan
serta rakyat jelata dari kampung yang berhampiran.
Pusat
Latihan Ketenteraman Awam atau (PULKA) adalah projek pembangunan di
bawah Rancangan Malaysia ke 9. Kawasan pembangunann projek terletak di
Pelangai, Bentong Pahang, 150 km dari bandar Kuantan dengan keluasan
1300 ekar. Skop penuh projek ini akan menempatkan 10,000 peserta kursus
dan 2,000 kakitangan.
Konsep
rekabentuk keseluruhan telah mengambil kira keseimbangan rekabentuk
dengan alam sekitar bagi mengurangkan impak pembangunan di atas tapak.
pembangunan telah dirancang dengan memperkayakan ciri-ciri semulajadi
tapak untuk memenuhi fungsi aktiviti latihan dan kursus.
Plan
induk ini terbahagi kepada 3 zon utama iaitu zon pentadbiran, zon
latihan serta zon kediaman dan komuniti. Konsep rekabentuk yang
bercirikan moden dan kontemporari telah diterapkan dalam gaya senibina
pembangunan di kawasan ini. Perancangan ruang-ruang bangunan telah
mewujudkan laman dalaman untuk memberikan keseimbangan antara aktiviti
harian dengan persekitaran luaran.
Pembinaan
Pusat Latihan Ketenteraman Awam (PULKA) adalah usaha PDRM untuk
mengintegrasikan semua institut latihan di bawah satu bumbung. Pusat
Latihan ini berkonsepkan 'A Single Roof And One Stop Centre' bagi
latihan yang berasaskan Ketenteraman Awam. Elemen yang terdapat dalam
pusat ini terdiri daripada lapan (8) Pusat Pengajian iaitu:
1. Pusat Pengajian PGA
2. Pusat Pengajian PGK
3. Pusat Pengajian PSP
4. Pusat Pengajian Trafik
5. Pusat Pengajian Pencegah Jenayah (MPV)
6. Pusat Pengajian Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
7. Pusat Pengajian Krisis dan Bencana
8. Pusat Pengajian Sekolah Memandu / Perisai
Tapak
projek ini ialah HSD 15898 Lot PT 5347 dan HSD 15899 Lot PT 5348.
Penyerahan tapak tanah ini telah dilakukan dalam satu majlis upacara
serah terima dari Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang kepada Ketua
Setiausaha Negara pada 28/08/2008 yang turut dihadiri oleh Ketua
Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan lain-lain Ketua Jabatan yang
berkaitan.
Projek
ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa pertama ialah pembinaan
Pusat Pengajian Pasukan Gerak Am (PGA). fasa kedua dan ketiga akan
dilaksanakan dalam RMK 10.
Pembinaan Pusat Latihan Ketenteraman Awam (PULKA) ini akan memberi banyak faedah di antaranya
*
Gunasama tenaga manusia termasuk jurulatih, tenaga sokongan dan
pentadbiran serta bangunan, peralatan, pengangkutan dan alat perhubungan
serta lain-lain kemudahan yang disediakan.
* Memudah dan menyelaras latihan secara menyeluruh untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan aktiviti latihan.
* memudahkan penyaluran dan pengagihan kewangan latihan
* meningkatkan kualiti latihan melalui kesepaduan perancangan di antara disiplin-disiplin latihan yang berbeza
* Melahirkan struktur pengurusan organisasi secara pemusatan yang lebih efektif dan bertanggungjawab.

YDH Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan membetulkan 'beret' YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang

kanan...Menteri Besar Pahang bersama tetamu kehormat

Upacara Pecah Tanah Pusat Latihan Ketenteraman Awam

Pertunjukan payung terjun oleh Komando 69 PGK yang membawa bersama bendera Sang Saka Biru

Persembahan 'Pantomime" PDRM mengisahkan kejayaan komando 69 menumpaskan segerombolan komunis

Cenderahati 'Carbine M1' Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang