Majlis Meraikan Pelepasan Pegawai Dan Anggota Pdrm Ke Sudan
Sepang - 13 Januari 2010. Majlis meraikan pelepasan seramai 23 orang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia ke Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) UNAMID/UNMIS Sudan telah berlangsung di Bilik VIP, Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur, Sepang.
Pemergian 3 pegawai dan 17 anggota ke Misi PBB UNAMID Sudan (United Nations African Union Mission In Dafur ) dan 3 anggota ke Misi PBB UNMIS (United Nations Mission In Sudan) bagi tempoh satu tahun ini adalah bagi menggantikan 19 UNPOL (United Nations Police Officer) yang telah pulang ke tanah air pada 15 September 2009 yang lalu. Misi UNAMID di Sudan telah dimulakan pada tahun 2008 dan UNMIS pula pada tahun 2006.
Penugasan sebagai UNPOL untuk Misi UNAMID adalah sebagai 'Pemerhati Polis' kepada pasukan polis tempatan dalam melaksanakan tugas-tugas kepolisan mengikut piawaian kepolisan antarabangsa manakala penugasan UNMIS adalah bagi membantu perlaksanaan pilihanraya negara Sudan yang dujangka di adakan pada bulan Februari 2010.
Penglibatan Polis Diraja Malaysia dalam Misi PBB telah bermula dengan penghantaran 14 pegawai dan anggota pada 13 Ogos 1991 lagi. Ianya berterusan sehingga kini dengan jumlah pegawai dan anggota yang sedang bertugas di misi PBB pada masa ini adalah seramai 243 orang. Sehingga kini, sejak tahun 1991 , PDRM telah menghantar 2,996 pegawai dan anggota di 12 buah negara meliputi Angola, Kemboja, Sahara, Croatia, Somalia, Afganistan, Sierra Leone, Bosnia Herzegovina, Mozambique, Kosovo, Timor Leste dan juga negara Sudan.
Pelepasan seramai 23 orang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia ke Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini telah disempurnakan oleh YDH DCP Dato' Mortadza bin Nazarene, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan). Hadir sama di majlis ialah YDH ACP Azam bin Abd Hamid, ACP Pentadbiran 1 Jabatan Pengurusan dan YDH Supt. Ramli bin Mohammed Yoosuf, Ketua Pegawai Turus Istiadat serta Pegawai-pegawai kanan PDRM.
"Bertugaslah dengan penuh berhati-hati, sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang di bawah bendera PBB, jagalah etika, pamerkan mutu disiplin yang tinggi, bertugaslah dengan profesional, berintegriti dan berhemah" kata YDH Dato' Mortadza.
YDH Dato' Mortadza juga meningatkan semua pegawai dan anggota yang bertugas dgn Misi PBB supaya tidak ingkar dan membelakangi peraturan yang boleh ditafsirkan sebagai melanggar tatatertib, sebagaimana arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan bertarikh 21 Disember 2007, melalui Arahan Pentadbiran Bilangan 15/2007, berhubung salah laku pegawai dan anggota PDRM semasa bertugas di Misi Pengaman PBB.

Memeriksa dokumen sebelum berlepas...

Teks ucapan Pengarah Pengurusan yang dibacakan oleh YDH DCP Dato' Mortadza bin Nazarene, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan)

Bacaan Ikrar yang diketuai oleh DSP Leow Kean Heong

Bacaan doa selamat, semoga selamat berangkat dan selamat menjalankan tugas.

Jamuan pagi...

YDH DCP Dato' Mortadza bin Nazarene mengucapkan selamat menjalankan tugas...