
Artikel
LTdIPT 2023: JSPT PASTIKAN KESELAMATAN DAN ALIRAN TRAFIK SEPANJANG KEJOHANAN TERJAMIN
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin
Segamat, 17 Jun 2023 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan memastikan aspek keselamatan terjamin serta aliran trafik lancar sepanjang Kejohanan LE TOUR de IPT 2023 yang berlangsung bermula hari ini sehingga 20 Jun depan.
Seramai 79 pegawai dan anggota polis dari sembilan kontinjen dan juga JSPT Bukit Aman, diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalulintas) JSPT Bukit Aman, Superintendan Mohd Yatim Hj. Osman bertugas sepanjang kejohanan yang julung-julung kali diadakan, dengan pembabitan penyertaan seramai 135 pelumba basikal dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi dalam negara.
Menerusi kejohanan tahun ini, sebanyak empat peringkat kejohanan yang bakal ditempuhi para pelumba, melibatkan jarak keseluruhan perlumbaan sejauh 331.9 kilometer (km).
Acara pelepasan yang berlangsung di Kolej Komuniti Segamat pagi tadi telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Kerajaan Negeri Johor, Dato' Zahari Sarip.
Para pelumba hari ini telah menamatkan perlumbaan sejauh 96.4km yang berakhir di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan bakal menghabiskan baki perlumbaan sejauh 60.0km (Criterium UTeM) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dalam peringkat kedua, esok.
Terdahulu berlangsung semalam di Dewan Sukan UTeM, majlis memperkenalkan pasukan dan perasmian LTdIPT 2023 yang dizahirkan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.
Mengiringi keberangkatan Tun Haji Mohd Ali ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Naib Canselor UTeM, Profesor Teknologis Dr. Massila Kamalrudin.
Sepanjang kejohanan berlangsung, PDRM telah menasihati pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan dengan selamat dan mengelakkan melalui jalan-jalan yang digunakan oleh para pelumba dengan menggunakan jalan alternatif yang dinasihatkan oleh pihak berkuasa.
Masyarakat turut dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam disamping sentiasa menyemak Media Sosial Rasmi PDRM bagi mendapatkan informasi terkini berkenaan LTdIPT 2023.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin