Lima Warga Asing Antara 29 Orang Ditahan Dalam Ops Gelandangan Di Melaka
MELAKA, 14 April - Sebanyak 29 orang termasuk lima warga asing ditahan dalam Ops Gelandangan disertai lebih 50 anggota pelbagai agensi di sekitar bandar Melaka di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata operasi empat jam itu melibatkan kawasan pelancongan iaitu Dataran Pahlawan, Melaka Sentral, Jonker Walk dan Pengkalan Rama.
Beliau berkata daripada jumlah yang ditahan, sembilan ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan kerana disyaki mengambil dadah, lima orang warga asing ditahan Jabatan Imigresen dan seorang wanita berusia 29 tahun dibawa Jabatan Agama Islam Melaka untuk diberi bantuan lanjut.
"Seramai 14 gelandangan termasuk tiga kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun dan remaja berusia 15 tahun diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala dua kanak-kanak diambil JKM berikutan kedua-dua ibu bapanya didapati positif dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Shaikh Abdul Adzis berkata operasi itu bertujuan membersihkan kawasan bandar Melaka daripada kegiatan mengemis.- BERNAMA